Selasa, 15 Mei 2018 | 3:53pm
TONY Fernandes. - Foto REUTERS

MAVCOM sangkal tuduhan Tony Fernandes

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menyangkal tuduhan yang dibuat Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengenai pembatalan 120 penerbangan tambahan yang dipohon AirAsia pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

MAVCOM berkata, suruhanjaya itu sebaliknya sudah meluluskan semua 66 penerbangan tambahan yang dipohon syarikat penerbangan tambang murah itu pada 23 April 2018.

"Suruhanjaya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan lain untuk mengurang atau membatalkan apa-apa penerbangan yang telah memenuhi keperluan pengawalseliaan.

"Bagi pandangan MAVCOM, tuduhan yang dibuat oleh Tony adalah satu perkara serius dan laporan polis sudah dibuat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, MAVCOM berkata, semua permohonan penerbangan tambahan yang diterima oleh Suruhanjaya adalah dibuat melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

AirAsia pada 13 April 2018 dan 18 April 2018, telah memohon sebanyak 54 penerbangan tambahan (27 perjalanan pergi balik dengan jumlah maksimum penumpang sebanyak 13,660) yang akan beroperasi ketika PRU14.

Penerbangan tambahan itu sudah diluluskan oleh MAVCOM pada 17 April 2018 dan 18 April 2018.

Pada 20 April 2018 (Jumaat) jam 3.20 petang, AirAsia selanjutnya telah meminta 86 penerbangan tambahan (43 perjalanan pergi balik dengan jumlah penumpang maksimum sebanyak 15,480) yang akan beroperasi semasa PRU14.

Bagaimanapun, pada 23 April 2018 (Isnin) jam 8.17 pagi, Suruhanjaya menerima permohonan semakan semula untuk 66 penerbangan tambahan (33 perjalanan pergi balik dengan jumlah penumpang maksimum 12,274) bagi tempoh 6 Mei hingga 13 Mei 2018, daripada AirAsia melebihi permohonan sebelumnya.

Jawapan menerusi emel, AirAsia juga meminta permohonan terdahulu diabaikan dan Suruhanjaya meneliti semakan itu, seterusnya meluluskan permohonan semakan pada hari sama.

Sebelum ini, Tony memuat naik klip video berdurasi hampir lima minit yang mendakwa AirAsia diberitahu oleh Mavcom supaya membatalkan kesemua 120 penerbangan tambahan yang disediakan pada harga yang berpatutan untuk rakyat balik mengundi dalam PRU-14.

Walaupun rakyat sangat gembira, Tony mendakwa beliau diberikan tekanan oleh kerajaan terdahulu apabila menyedari syarikat penerbangan itu membawa begitu ramai pengundi.

456 dibaca
Berita Harian X