Selasa, 15 Mei 2018 | 4:02pm
PRESIDEN Institut Penyelidikan Asean CIMB (CARI), Tan Sri Dr Munir Majid ketika ditemui selepas sesi meja bulat berkaitan jurang bakat dan kemahiran di rantau ASEAN di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail

Kerajaan mampu pikat pakar tempatan kembali ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berupaya untuk menjadi pemangkin kepada bakat dan pakar tempatan yang berada di luar negara kembali berkhidmat di Malaysia.

Presiden Institut Penyelidikan Asean CIMB (CARI), Tan Sri Dr Munir Majid, berkata meskipun pembentukan kerajaan masih baharu, namun ia memberikan petunjuk yang positif kepada pasaran bakat di negara ini.

"Pembentukan kerajaan baharu ini menunjukan persekitaran yang positif khususnya dalam menarik bakat serta profesional ke Malaysia, namun banyak yang perlu dilakukan dari segi dasar dan perlaksanaannya.

"Malah, jika rakyat disediakan dengan pendidikan yang baik di samping peruntukan bagi biasiswa untuk melahirkan bakat dalam kalangan anak tempatan yang cekap, ia akan memberi hasil yang baik kepada negara," katanya ketika ditemui selepas sesi meja bulat berkaitan jurang bakat dan kemahiran di rantau ASEAN di sini, hari ini.

Siri meja bulat itu turut disertai oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin; Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Malaysia, Shareen Shariza Abdul Ghani; Rakan Kerjasama Ketua Asia Tenggara A T Kearney, Chua Soon Ghee dan Ketua Eksekutif Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran.

Antara isu yang diketengahkan termasuklah keperluan tindakan dalam kalangan negara ASEAN untuk memperhebatkan mobiliti pekerja mahir dalam kalangan negara di rantau ini selain agenda pembaharuan pendidikan yang selari dengan revolusi digital.

Menurut Munir, kekurangan tenaga mahir bagi keperluan industri pada masa kini dan akan datang tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh, memandangkan ASEAN diunjurkan menerima kira-kira 68 juta tenaga kerja baharu pada 2025.

"Waktu ini adalah tempoh kritikal buat rantau ini untuk memperkenalkan pembaharuan pendidikan pada peringkat nasional untuk menghasilkan tenaga kerja yang bersedia berdepan dengan transformasi seperti Industri 4.0," katanya.

Beliau berkata, dari segi kadar tenaga mahir, Malaysia masih berada pada kedudukan yang stabil dan tidak ketinggalan berbanding negara anggota yang lain seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

635 dibaca
Berita Harian X