Selasa, 15 Mei 2018 | 5:34pm

RAM Ratings kekal penarafan Malaysia

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd, menjangkakan penarafan berdaulat gA2 Malaysia akan kekal, susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Agensi penarafan itu berkata, beberapa perubahan dasar ekonomi dan fiskal boleh mewujudkan ketidaktentuan dalam jangka terdekat, memandangkan butirannya masih sama pada masa ini.

Namun, katanya penekanan kukuh kepimpinan baharu terhadap pembaharuan tadbir urus dan institusi adalah positif secara jangka panjang bagi asas negara ini.

"RAM Ratings memandang asas makroekonomi teguh Malaysia sebagai pemacu penting momentum pertumbuhan mampan dan faktor utama mempengaruhi penarafannya menuju ke hadapan," katanya.

Ia berkata, 10 janji PH dalam tempoh 100 hari pertama dilihat sangat menyokong aktiviti perbelanjaan persendirian dan oleh yang demikian, memberikan potensi kenaikan kepada unjuran pertumbuhan perbelanjaan persendirian negara sebanyak 7.2 peratus bagi 2018.

Agensi penarafan itu berkata, peningkatan perbelanjaan boleh direalisasikan bergantung kepada secepat mana dasar sekarang ini diubah dan dasar baharu dilaksanakan, seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

"Kaedah ia (SST) dilaksanakan adalah satu lagi aspek untuk dipertimbangkan dari segi skopnya terhadap pendapatan kerajaan dan pengukuhan perbelanjaan," katanya.

164 dibaca
Berita Harian X