Selasa, 15 Mei 2018 | 5:40pm
PENGERUSI Ekuiti Nasional Berhad, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Berhad, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir mengadakan sidang media laporan kewangan Ekuiti Nasional Berhad tahun 2017 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Ekuiti Bumiputera meningkat RM4.4 bilion

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) meningkatkan nilai ekuiti Bumiputera di dalam syarikat di bawah portfolio pelaburannya kepada RM4.4 bilion atau 1.5 kali modal dilaburkannya pada tahun lalu.

Nilai pemegang saham melonjak kepada RM6.3 bilion atau 2.2 kali modal dilaburkan.

Tahun lalu juga menyaksikan Ekuinas terus merekodkan prestasi memberangsangkan dari segi operasi dengan menjana pulangan portfolio kasar RM476.7 juta bagi Dana Ekuinas Direct (Tranche I), bersamaan dengan kadar pulangan dalaman (IRR) kasar tahunan sebanyak 10.1 peratus dan IRR bersih tahunan 6.5 peratus.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017,Dana Ekuinas Direct (Tranche II) oleh Ekuinas mencatat pulangan portfolio kasar RM391.7 juta, bersamaan IRR kasar tahunan 14.6 peratus dan IRR bersih 10.2 peratus.

Dalam pada itu, Dana Ekuinas Direct (Tranche III) mencatatkan pulangan portfolio kasar RM53.9 juta dengan IRR kasar tahunan sebanyak 10.7 peratus.

Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata pencapaian setakat ini menunjukkan model ekuiti persendirian (PE) unik Ekuinas berjaya merangsang perniagaan tempatan dan menggalakkan penyertaan ekonomi Bumiputera.

Beliau berkata, pada tahun lalu, bilangan pelaburan langsung dan penyumberan luar meningkat kepada 58 berbanding 53 tahun sebelumnya dengan jumlah pelaburan komited RM3.6 bilion berbanding RM3.0 bilion pada 2016.

"Ekuinas menjana kesan positif bagi ekonomi Malaysia secara umumnya, dengan pelaburan ekonomi keseluruhan berjumlah RM4.3 bilion bersama rakan kongsi sektor swasta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi Ekuinas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.

Mengenai rancangan pelaburan bagi tahun ini, Raja Arshad berkata, Ekuinas memperuntukkan RM400 juta bagi pelaburan tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini, lebih separuh daripada peruntukan itu sudah dilaburkan.

440 dibaca
Berita Harian X