;
Rabu, 16 Mei 2018 | 2:59pm
TAN Sri Ter Leong Yap.

Kajian semula peranan GLC cergaskan sektor swasta

KUALA LUMPUR: Kajian semula peranan yang dimainkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mengehadkan campur tangan kerajaan dalam perniagaan, akan mewujudkan sektor swasta yang lebih cergas dan kompetitif, selain kerajaan yang lebih fokus dan cekap, kata Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Tan Sri Ter Leong Yap.

Beliau mengulas manifesto Pakatan Harapan yang menyatakan GLC perlu beroperasi dalam sektor yang bermasalah akibat kegagalan pasaran dan tidak bersaing dengan syarikat swasta.

"Selain itu, ketelusan dan pelaksanaan tender terbuka bagi projek-projek kerajaan, yang dianggarkan bernilai lebih RM100 bilion setahun, penting bukan sahaja bagi menyediakan peluang sama rata bagi penggiat sektor swasta berkelayakan, bahkan turut memastikan semua wang pembayar cukai dibelanjakan dengan betul.

"Ini akan mewujudkan situasi sama sama menang untuk semua pemegang kepentingan," kata NCCIM dalam satu kenyataan hari ini.

Ter berkata, hasrat kerajaan untuk terbabit secara lebih aktif dalam ASEAN, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, Kesatuan Eropah, Dewan-dewan Perniagaan serta kumpulan perniagaan, adalah petunjuk positif untuk komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa. - BERNAMA

566 dibaca
Berita Harian X