Rabu, 16 Mei 2018 | 3:13pm
TAN Sri Dr Mohd Irwan Siregar. - Foto Ghazali Kori

Majlis Penasihat Kerajaan jumpa Irwan Siregar

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan meneruskan kerja sejak dibentuk Sabtu lalu, menghadiri pelbagai mesyuarat dan taklimat, bagi membantu kerajaan baharu memenuhi janji 100 harinya.

Antara lain ahli majlis akan bertemu Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar dalam kapasitinya sebagai Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), untuk taklimat hari ini.

Irwan ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam sejak semalam dengan kontraknya sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan tamat pada 14 Jun.

Beliau tidak dibenarkan melakukan sebarang tugas membabitkan Kementerian Kewangan (MoF).

Taklimat lain hari ini termasuk subsidi bahan api oleh MoF, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, projek-projek mega oleh Ketua Pengarah (DG) Unit Kerjasama Awam-Swasta, Datuk Seri Ahmad Husni Hussain dan perbelanjaan pembangunan oleh Timbalan DG (Sektor) Unit Perancang Ekonomi, Datuk Allauddin Anuar.

Sesi lain termasuk bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyHSR Corporation, Datuk Mohd Nur Ismail Mohamed Kamal dan CEO Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, membabitkan projek masing-masing.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin juga akan membentangkan laporan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri bagi suku pertama 2018.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan bagi memberi nasihat sepanjang tempoh peralihan kuasa.

Lima ahli Majlis Penasihat juga akan memberi khidmat nasihat dan kepakaran dalam urusan berkaitan ekonomi dan kewangan.

Diketuai bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, ahli majlis yang lain terdiri daripada bekas gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan CEO Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, pakar ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram dan jutawan Tan Sri Robert Kuok.

Majlis itu mengadakan mesyuarat pertama serta-merta selepas pengumuman pembentukannya pada Sabtu yang berakhir hingga lewat malam. - BERNAMA

4956 dibaca
Berita Harian X