;
Rabu, 16 Mei 2018 | 5:49pm
PRESIDEN Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Tan Sri Ter Leong Yap. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kajian semula GLC cergaskan daya saing ektor swasta

KUALA LUMPUR: Kajian semula peranan yang dimainkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mengehadkan campur tangan kerajaan dalam perniagaan, akan mewujudkan sektor swasta yang lebih cergas dan kompetitif, kata Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Tan Sri Ter Leong Yap.

Beliau berkata, selain itu ia juga menjadikan kerajaan lebih fokus dan cekap.

"Langkah kerajaan mewujudkan Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada pakar terkemuka dalam bidang perniagaan, perbankan, kewangan, ekonomi dan minyak serta gas itu adalah langkah positif dalam menyediakan kelayakan teknokratik lebih baik dan kepakaran kepada pentadbiran baru.

"Fokus segera pasukan terbabit dalam menilai dan memberi nasihat kepada kerajaan mengenai situasi ekonomi semasa tidak ternilai untuk membantu pentadbiran baharu mencapai janji manifestonya, sekali gus mengukuhkan lagi komuniti perniagaan dan meningkatkan keyakinan pelabur," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Leong Yap berkata, manifesto Pakatan Harapan sangat jelas dalam aspek mendefinisikan peranan GLC yang beroperasi dalam sektor yang mengalami kegagalan pasaran dan tidak bersaing dengan syarikat swasta.

"Dengan mendefinisikan semula objektif GLC dan mengehadkan campur tangan kerajaan ke dalam perniagaan, kami akan dapat lihat sektor swasta yang lebih bersemangat dan berdaya saing serta kerajaan yang lebih fokus dan cekap," katanya.

Beliau berkata, hasrat kerajaan untuk mengambil bahagian secara lebih aktif dalam ASEAN, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Kesatuan Eropah (EU) serta Dewan Perdagangan dan kumpulan perniagaan adalah tanda positif bagi masyarakat perniagaan tempatan dan global.

Menurutnya, penekanan lebih besar untuk meningkatkan produktiviti, ekonomi perkongsian, penyelidikan dan pelaksanaan teknologi baru, latihan semula untuk Revolusi Industri 4.0, memperbaiki sekolah dan universiti awam, serta menguasai bahasa Inggeris adalah penting dalam menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global.

"Semua perkara ini akan menimbulkan rasa optimis dan kami berharap dapat menyumbang kepakaran kami serta bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri dan pentadbirannya bagi memulakan satu kemajuan era baru untuk Malaysia," katanya.

184 dibaca
Berita Harian X