;
Rabu, 16 Mei 2018 | 8:20pm

GST sifar, secara teori harga turun

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menetapkan kadar sifar bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 Jun ini, secara teorinya akan mengurangkan harga barang dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada harga barang dan perkhidmatan seperti tukaran mata wang dan pentadbiran harga.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dengan menetapkan GST pada kadar sifar berbanding kadar enam peratus ketika ini, memungkinkan harga barang menjadi lebih rendah.

Namun, katanya, amalan sesetengah peniaga yang enggan menurunkan harga akan menjadi cabaran kepada harga barang meskipun kadar GST berada pada paras sifar.

"Secara teorinya, dengan kadar GST berada pada paras sifar berbanding enam peratus (ketika ini), harga barang akan turun.

"Namun, GST bukan satu-satunya penyumbang kepada pergerakan harga, terdapat faktor lain seperti kadar tukaran asing turut menyumbang kepada harga," katanya kepada Bisnes NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai langkah kerajaan menetapkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport akan dikenakan GST pada kadar sifar, berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.

3865 dibaca
Berita Harian X