;
Rabu, 16 Mei 2018 | 8:36pm
PENGARAH Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin bersama artis, Zoey Rahman (dua kiri), Tajul dan Haqiem Rusli pada majlis pelancaran kempen Girang Syawal Tiba 2018 di Subang Jaya, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

GST sifar bolehkan rakyat berbelanja lebih

SUBANG JAYA: Langkah kerajaan menetapkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus bermula 1 Jun ini bakal memacu pertumbuhan kitaran ekonomi secara keseluruhan, sekali gus membolehkan syarikat membayar cukai perniagaan dengan lebih baik kepada kerajaan.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin, berkata sumber kewangan kerajaan sebanyak RM42 bilion mungkin berkurangan dengan ketiadaan GST, namun ia akan membolehkan rakyat untuk lebih berbelanja kerana tiada kutipan cukai dilakukan.

Menurutnya, situasi itu akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk berbelanja dan seterusnya membantu dalam meningkatkan lagi penggunaan domestik.

"Ekonomi negara akan menerima manfaat apabila kerajaan tidak dapat mengumpul sejumlah RM42 bilion daripada rakyat dan ini dapat menyumbang kepada nilai jualan dan peningkatan jumlah cukai perniagaan kepada kerajaan," katanya pada majlis pelancaran kempen Girang Syawal Tiba 2018 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menetapkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di Malaysia dan perkhidmatan yang diimport adalah sifar GST.

Amee berkata, syarikat menyambut baik pengumuman daripada kerajaan baharu itu dan menyifatkannya sebagai tindakan pantas kerana berjaya menunaikan manifesto yang ditetapkan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, pengumuman itu akan menyebabkan syarikatnya perlu bekerja keras menukarkan harga bagi satu juta barangan Mydin bukan saja dalam sistem di pasar raya, malah di gudang dalam tempoh dua minggu ini.

"Saya yakin peralihan GST kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan berjalan lancar berbanding SST kepada GST sebelum ini," katanya.

1506 dibaca
Berita Harian X