Jumaat, 12 Oktober 2018 | 4:31pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (kiri) mendengar penerangan daripada delegasi ketika melawat pameran selepas merasmikan Seminar Lapangan Terbang Kecil dan Berkembang Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa Asia Pasifik 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), semalam. - Foto Hamzah Osman

Keselamatan data ancam pengendali lapangan terbang

LANGKAWI: Lapangan terbang mungkin berdepan kerugian besar dalam pendapatan aeronautik dan bukan aeronautik, jika pengendali tidak melindungi data operasinya.

Penasihat Kanan Keselamatan Siber ServiceTec Airport Cyber, Dr John McCarthy, berkata pengendali lapangan terbang terdedah dengan serangan siber dan adalah penting untuknya menguruskan data dengan betul.

“Dalam hubungan dengan perlindungan data, pengendali lapangan terbang perlu sedar mengenai reputasinya yang terjejas jika data mereka diterbitkan atau dibocorkan,” katanya ketika ditemui Bisnes NSTP pada Seminar Lapangan Terbang Kecil dan Sedang Membangun (SEAS) 2018 Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) di sini, hari ini.

McCarthy menegaskan, reputasi yang terjejas akan menyebabkan pengguna tidak menggunakan lapangan terbang yang terbabit dan seterusnya menyaksikan syarikat penerbangan akan mengalih operasi ke lapangan terbang lain.

“Ini akan memberi kesan besar kepada pendapatan lapangan terbang termasuk segmen runcit dan tempat letak kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, pengawal selia boleh mendenda pengendali jika data dibocorkan, yang mana akan menyebabkan syarikat penerbangan menamatkan operasi di lapangan terbang bermasalah disebabkan isu keselamatan siber.

“Adalah penting bagi pihak berkepentingan untuk meyakinkan ahli lembaga pengarah supaya melindungi keselamatan siber.

“Bagaimanapun, kebanyakan beranggapan keselamatan siber memerlukan perbelanjaan teknologi yang besar,” katanya sambil menegaskan keselamatan siber itu boleh digunakan untuk mana-mana lapangan terbang yang berkaitan.

McCarthy percaya organisasi harus menggunakan teknologi termaju dalam perlindungan keselamatan siber, selain memberi pendedahan tentang risiko jika data didedahkan.

“Sebagai permulaan, kita boleh menggunakan ini (perlindungan) menerusi latihan dan kesedaran, yang mana ia tidak memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Adalah penting bagi pengendali lapangan terbang untuk memiliki kakitangan teknikal untuk memahami tentang implikasi dan perlindungan dalam persekitaran operasi,” katanya dengan menambah pengendali lapangan terbang perlu memiliki pakar untuk melihat bagaimana sistem itu dikonfigurasikan dan diuruskan.

Beliau berkata, pengendali lapangan terbang terdedah dengan serangan siber terutama dalam transaksi kewangan seperti data kad kredit penumpang dan tiket penerbangan.

41 dibaca
Berita Harian X