Jumaat, 12 Oktober 2018 | 4:31pm
- Foto hiasan

Anak syarikat Hibiscus Petroleum fail writ saman terhadap Lime Norway

KUALA LUMPUR: Gulf Hibiscus Ltd (GHL) anak syarikat milik penuh Hibiscus Petroleum Bhd memfailkan writ saman menuntut ganti rugi terhadap Lime Petroleum Norway AS (Lime Norway) dan tiga pengarahnya untuk kerugian kewangan yang dialami, berikutan penstrukturan semula yang dilakukan oleh Lime Norway.

Tiga pengarah Lime Norway yang dinamakan adalah Hans Ove Leonard Lidgren, Svein Helge Kjellesvik dan Ivar Aarseth.

Saman difailkan di Mahkamah Daerah Oslo pada 11 Oktober 2018.

“Syarikat dan anak syarikat penuh mempunyai hak untuk kebenaran," kata Hibiscus dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.

GHL, pada 2016, menuntut ganti rugi sebanyak AS$35 juta (RM136.4 juta) daripada Lime Norway bagi kerugian kewangan yang dialami oleh GHL.

Hibiscus memperoleh 35 peratus kepentingan dalam Lime Petroleum Plc (Lime Plc) dengan harga AS$55 juta pada 2012.

Sebelum ini, Lime Petroleum telah menjalani penstrukturan semula yang merangkumi pengurangan modal saham dengan membatalkan 900,000 saham yang dimiliki oleh Rex International Investments Pte Ltd.

Modal saham Lime Petroleum kemudian dikurangkan kepada 2.92 juta kroner Norway dari 251.12 juta kroner Norway dengan pengurangan nilai nominal sahamnya.

Lime Petroleum kemudiannya mengeluarkan 77.4 juta saham baru kepada Rex untuk satu kroner Norway sesaham, setelah berpuas hati dengan pembayaran balik modal.

Sebagai hasil daripada usaha itu, Hibiscus berkata, Rex telah memperolehi tambahan 70.3 peratus kepentingan, meningkatkan pegangannya kepada 96.5 peratus daripada 26.2 peratus sebelumnya, tanpa sebarang bayaran tambahan kepada Lime Petroleum.

Pencairan kepentingan dalam Lime Norway sebahagiannya telah menjejaskan prestasi kewangan Hibiscus.

Akibatnya, kerugian Hibiscus melebar kepada RM164.17 juta untuk suku kedua yang berakhir pada Disember 2015 daripada RM10.66 juta tahun sebelumnya.

80 dibaca
Berita Harian X