Jumaat, 12 Oktober 2018 | 5:07pm
Ketua Pegawai Eksekutif, Peoplender Sdn Bhd, Kristine Ng dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pitch Platforms Sdn Bhd, Sam Shafie (kanan) semasa majlis menandatangani perjanjian antara Peoplender Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan Fundaztic dan PitchIN di Co Labs @ Starling Mall, Damansara Uptown. - Foto Owee Ah Chun

Bajet 2019: Industri pendanaan awam harap pelepasan cukai

KUALA LUMPUR: Industri pendanaan awam berharap kerajaan akan memberi pelepasan cukai kepada pelabur yang melabur dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi platform pinjaman rakan setara (P2P) dan platform pendanaan awam ekuiti (ECF) bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Peoplender Sdn Bhd, Kristine Ng berkata ini memandangkan industri tersebut masih agak baharu di Malaysia, oleh itu penting untuk kerajaan memacu minat dan penerimaan awam bagi membantu pertumbuhannya di samping menyebar luas maklumat berkaitan industri ini.

Beliau berharap kerajaan menerusi Bajet 2019 dapat menyediakan pelepasan cukai itu kerana apabila kebanyakan pelabur membayar cukai mereka, risiko yang ditanggung tidak dilepaskan sepenuhnya.

“Contohnya, apabila saya menjelaskan cukai saya sebagai seorang pelabur, saya boleh memperoleh pulangan, namun jumlah itu tidak mutlak kerana pelaburan tersebut masih dalam proses pembayaran semula. Jadi, bagaimana jika pelaburan itu berakhir satu bulan selepas saya membayar cukai?

“Berapa sahaja yang saya peroleh, saya telah membayar kepada kerajaan melalui cukai, namun saya mungkin berdepan risiko kehilangan modal, dan tidak boleh membuat tuntutan semula kepada kerajaan kerana cukai telah dibayar,” katanya bagi mengulas harapan Bajet 2019.

Ng berkata, pelepasan cukai selama lima tahun akan membantu dan adil berasaskan risiko yang perlu ditanggung pelabur iaitu sehingga tiga tahun, dalam membantu membiayai PKS.

“Jika pelabur tidak melabur hanya kerana adanya cukai, malah selepas membayar cukai mereka mengalami kerugian yang lebih banyak, ini menyebabkan pelabur tidak akan lagi berminat terhadap industri ini.

“Kita juga tidak akan lagi dapat merapatkan jurang pembiayaan dari segi mengapa industri ini diwujudkan pada mulanya,” katanya.

Peoplender memiliki dan menguruskan Fundaztic, syarikat pemula niaga teknologi kewangan yang mengendalikan platform pembiayaan P2P.

Sementara itu, CEO Pitch Platforms Sdn Bhd, Sam Shafie yang mengoperasikan ECF, pitchIN, berharap kerajaan semasa akan meneruskan idea penubuhan dana khas, yang membolehkan badan korporat melabur ke dalamnya dan menikmati beberapa rebat cukai bagi jumlah tertentu pelaburan mereka.

“Dalam belanjawan sebelum ini oleh pentadbiran kerajaan terdahulu, ada cadangan mengenai perkara ini, yang kami berpendapat ia masih satu idea yang baik.

“Dana ini seharusnya dikhususkan kepada modal teroka yang boleh dilaburkan dalam syarikat yang menjalankan pengumpulan dana menerusi ECF atau firma yang secara amnya membuat pengumpulan dana.

“Beberapa usaha telah digerakkan bagi mewujudkan dana ini, namun kami tidak melihat hasilnya,” katanya.

Sam berkata sekiranya dana ini direalisasikan, ia boleh menyokong lebih banyak aktiviti pendanaan PKS memandangkan terdapat banyak syarikat yang berpotensi. dan mereka akan mendapatkan bantuan dari negara lain apabila gagal memperoleh sokongan dalam negara.

“Kita tidak mahu kehilangan bakat ini dan cukai yang mereka bayar. Kita perlu mengekalkan mereka di dalam negara, membantu mereka dan ekosistem melalui pendanaan,” katanya.

-BERNAMA

61 dibaca
Berita Harian X