Ahad, 13 Ogos 2017 | 4:27pm

China pasaran penting Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd menyasar untuk memantapkan kehadirannya di Asia dengan potensi pertumbuhan di China.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew, berkata peluang pertumbuhan adalah besar bagi syarikat penerbangan nasional itu memperluaskan operasi khususnya di pasaran China.

Beliau berkata, pasaran ekonomi kedua terbesar dunia itu kini menyumbang kira-kira lapan atau sembilan peratus kepada perniagaannya ketika ini.

Berdasarkan jangkaan aliran permintaan sektor pelancongan yang semakin meningkat dari China, katanya, syarikat penerbangan itu mengunjurkan sumbangan daripada pasaran berkenaan akan meningkat kepada 20 peratus dalam tempoh tiga tahun.


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd, Peter Bellew. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

"Potensi pertumbuhan pelancong dari China ke Malaysia adalah besar. Difahamkan, akan ada 100 juta pemegang pasport baharu dari negara itu dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.

"Saya fikir jumlah pelancong China mampu meningkat sekali ganda dalam tempoh lima hingga enam tahun," katanya.

Bellew berkata, Malaysia Airlines yang kini dalam kedudukan kukuh untuk kembali mencatat keuntungan menjelang tahun depan, turut melakukan perubahan dari segi menu hidangan untuk laluan penerbangan ke China bagi memenuhi selera penumpang dari negara itu.

Di samping China, beliau berkata, potensi pertumbuhan yang ditawarkan pasaran Jepun dan India juga adalah besar, sekali gus menjadikan Asia rantau tumpuan penting bagi pengembangan syarikat itu pada masa depan.

Menyentuh mengenai pelan pemulihan Malaysia Airlines, Bellew berkata, pelan penyusunan dan pemulihan syarikat penerbangan nasional itu berjalan lancar mengikut jadual.

Beliau berkata, pihaknya akan sedaya upaya mengurangkan risiko dan pada masa sama meningkatkan hasil bagi memastikan kedudukan kewangan Malaysia Airlines kukuh dan mapan pada masa depan.

"Semuanya berjalan lancar. Jumlah penumpang juga semakin meningkat dan moral dalam kalangan kakitangan juga bertambah baik.

"Kesukaran yang dihadapi beberapa tahun lalu menjadikan kami lebih komited, mempunyai sasaran dan fokus," katanya.

Bellew yang dilantik menerajui kepimpinan pengurusan tertinggi Malaysia Airlines pada 1 Julai 2016, yakin pelan pemulihan yang dilaksanakan ketika ini akan menjadikan kedudukan kewangan syarikat penerbangan nasional itu kukuh dan mantap untuk jangka panjang.

Berita Harian X