Rabu, 13 September 2017 | 1:46pm

Pengeluaran getah asli Julai naik 8.7%

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia bagi Julai 2017 meningkat 8.7 peratus kepada 54,994 tan berbanding 50,614 tan bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu berkata sektor pekebun kecil menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran getah asli, yang menyumbang lebih 90 peratus.

"Harga purata bulanan susu getah pekat jatuh 9.7 peratus kepada RM5.17 satu kilogram, berbanding RM5.73 satu kilogram pada Jun.

"Bagaimanapun, harga purata bulanan Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 5.4 peratus kepada RM6.35 satu kilogram pada Julai berbanding RM6.02 satu kilogram bulan sebelumnya," katanya.

Jabatan itu berkata, eksport getah asli meningkat 5.5 peratus kepada 47,136 tan pada Julai berbanding bulan sebelumnya.

Destinasi utama bagi eksport getah asli Malaysia ialah China (38.2 peratus), Jerman (17.9 peratus), Iran (7.4 peratus), Amerika Syarikat (4.9 peratus) dan Finland (3.9 peratus).

Di peringkat tempatan, jabatan itu berkata penggunaan domestik getah asli pada Julai turut naik kepada 40,852 tan, meningkat 4.2 peratus berbanding 39,211 tan pada Jun. - BERNAMA

193 dibaca
Berita Harian X