Khamis, 14 September 2017 | 9:49am

Wall Street cecah rekod tertinggi tanpa bantuan Apple

NEW YORK: Wall Street menokok ke paras rekod tertinggi hari ini sungguhpun kenaikan dihadkan oleh prestasi hambar gergasi teknologi Apple Inc.

Saham Apple susut 0.8 peratus disebabkan kebimbangan iPhone X yang baru dilancarkan terlalu mahal dan penghantaran terawal hanya pada November, lebih lewat daripada jangkaan.

Sungguhpun penyusutan dalam saham Apple, S&P 500, Dow Jones dan Nasdaq semuanya ditutup pada rekod tertinggi, disokong kenaikan dalam saham berkaitan pengguna.

Dow Jones Industrial Average menokok 39.32 mata, atau 0.18 peratus, kepada 22,158.18.

S&P 500 naik 1.89 mata, atau 0.08 peratus, kepada 2,498.37, dan Nasdaq Composite menambah 5.91 mata, atau 0.09 peratus, kepada 6,460.19.

Indeks berkenaan mencecah beberapa rekod tertinggi tahun ini, sungguhpun halangan dicetuskan kecelaruan di Rumah Putih, ketidaktentuan bila kadar faedah akan dinaikkan, keraguan akan kemampuan Presiden Donald Trump dalam menjayakan agenda reformasi pro perniagaan, dan terkini ketegangan berhubung keupayaan nuklear Korea Utara.

S&P 500 mencatat 31 paras tertinggi 52-minggu baharu dan satu paras terendah baharu; Nasdaq Composite mencatat 103 paras tertinggi baharu dan 17 paras terendah baharu.

Sejumlah 6.2 bilion saham bertukar tangan di bursa saham AS, di atas paras 5.8 bilion, purata 20 hari. - Reuters

119 dibaca
Berita Harian X