Jumaat, 13 Oktober 2017 | 4:44pm
PENGARAH Bahagian Gaya Hidup MATRADE, Abu Bakar Yusof (dua kanan) bersama Ketua Eksekutif Nakakoma Orimono, Kazuno Nakajima (dua kiri) dan Ketua Fesyen BBEF, Nora Shahera Halem (kanan) hadir pada majlis pelancaran kerjasama jenama fesyen Biji-biji Ethical Fashion (BBEF) dengan Nakakoma Orimono di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto RosdanWahid

MATRADE harap peruntukan promosi eksport ditambah

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk menambah peruntukan promosi eksport produk gaya hidup dalam Bajet 2018.

Menurut Pengarah Bahagian Gaya Hidup MATRADE, Abu Bakar Yusof bagi industri gaya hidup, insentif yang diperlukan bagi pemain industri adalah dalam bentuk sokongan kewangan dan bukan kewangan.

Katanya, apabila memperkatakan mengenai industri gaya hidup, ia merujuk kepada golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan kebanyakannya masih memerlukan sokongan kewangan.

"Walaupun MATRADE sudah mendapat peruntukan sedia ada untuk insentif berkenaan, kami berharap jumlah itu dapat ditambah kerana ia akan dapat membantu lebih ramai usahawan PKS tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka di luar negara.

"Kami juga positif bahawa kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada sektor eksport kerana ia bukan saja boleh memberi pulangan kepada negara tetapi juga kepada usahawan tempatan," katanya selepas majlis pelancaran kerjasama jenama fesyen Biji-biji Ethical Fashion (BBEF) dengan Nakakoma Orimono di sini, hari ini.

BBEF adalah syarikat yang membuat rekaan beg dan baju dengan menggunakan bahan yang dikitar semula dan Nakakoma Orimono adalah jenama dari Jepun.

Menerusi kerjasama berkenaan, BBEF dan Nakakoma Orimono mencipta koleksi beg dan baju yang diperbuat daripada kain kimono vintaj dan akan dipasarkan menerusi laman web www.bijibijidesign.com.

Hadir sama pada majlis pelancaran berkenaan adalah Ketua Fesyen BBEF, Nora Shahera Halem dan juga Ketua Eksekutif Nakakoma Orimono, Kazuno Nakajima.

Sementara itu, Abu Bakar berkata pihaknya memberi penekanan dalam usaha membantu usahawan tempatan untuk mempromosi dan memasarkan produk gaya hidup ke luar negara.

"MATRADE sentiasa menjalin kerjasama dengan pemain industri bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan mereka ke negara luar.

"Ini kerana pasaran tempatan agak terhad dan mereka harus melihat potensi luar yang lebih besar," katanya.

INFO

* Mini festival BIJI-BIJI x NAKAKOMA ORIMONO akan diadakan pada 13 hingga 15 Oktober di ME.REKA, Publika, Kuala Lumpur

93 dibaca
Berita Harian X