Selasa, 14 November 2017 | 10:27pm
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Ir. Azhar Omar (dua dari kiri), dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razak Abdul Majid (dua dari kanan) semasa pelancaran buku Panduan Menggunakan Tenaga Elektrik Dengan Cekap Di Rumah sempena Majlis Penyampaian Hadiah Energy Efficiency Challenge 2017 di Putrajaya. - Foto ihsan Suruhanjaya Tenaga

Cabaran EE 2017 jimat 308,985 kWj elektrik

PUTRAJAYA: Pertandingan Cabaran Cekap Tenaga (EE Challenge) 2017, anjuran Suruhanjaya Tenaga, berjaya menjimatkan 308,985 per kilowatt jam (kWj) elektrik bernilai RM156,725.55.

Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razak Abdul Majid, berkata penjimatan elektrik itu juga bermakna pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 235 tan CO2 dicapai sepanjang pertandingan yang bermula April hingga September lalu.

Pertandingan EE Challenge 2017 itu disertai 72 sekolah menengah.


Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razak Abdul Majid, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Ir. Azhar Omar dan Pengarah Pembangunan Pengurusan Tenaga dan Kualiti Perkhidmatan Suruhanjaya Tenaga, Ir. Abdul Rahim Ibrahim bergambar kenangan bersama pemenang-pemenang pertandingan Energy Efficiency Challenge 2017 anjuran Suruhanjaya Tenaga di Putrajaya. - Foto ihsan Suruhanjaya Tenaga

Pertandingan EE Challenge yang dianjurkan setiap tahun sejak 2014 adalah satu inisiatif Suruhanjaya Tenaga untuk mendidik dan memupuk budaya menggunakan tenaga elektrik secara cekap dan menghargai sumber tenaga dalam kalangan pelajar dan warga sekolah.

"Ia satu pertandingan penggunaan elektrik secara berhemah antara sekolah-sekolah menengah selain menyemai kesedaran dan mendorong perubahan sikap positif tentang kepentingan penjimatan tenaga elektrik dan pemulihan alam sekitar," kata Abdul Razak.

- BERNAMA

106 dibaca
Berita Harian X