Khamis, 7 Disember 2017 | 7:44pm

Saham Asia di atas paras terendah 2 bulan

TOKYO: Saham Asia berlegar di atas paras terendah dua bulan pada Khamis apabila saham teknologi melantun semula selepas aktiviti penjualan walaupun harga logam dan minyak mentah lebih rendah serta ketidakpastian terhadap dasar Amerika Syarikat (AS), menyebabkan pelabur kekal berhati-hati.

Niaga hadapan utama Eropah didagang lebih tinggi dengan kontrak DAZ Jerman naik 0.4 peratus manakala FTSE Britain dan CAC Perancis masing-masing meningkat 0.1 peratus.

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun menokok 0.2 peratus apabila beberapa saham teknologi melantun semula, dengan Tencent meningkat tiga peratus dan Alibaba naik lebih dua peratus.

Bagaimanapun, indeks MSCI merosot 4.5 peratus daripada paras 10 tahun tinggi yang dicatat pada 23 November apabila pelabur mencatat keuntungan daripada aktiviti penjualan tahun ini.

Di Jepun, Nikkei melonjak 1.5 peratus, menutup kerugian lebih dua peratus pada hari sebelumnya, kejatuhan terbesar sejak Mac.

Pelabur kini sedang memerhati undang-undang pembaharuan cukai terakhir di AS, di mana kemungkinan pembubaran kerajaan AS akan berlaku jika Kongres gagal bersetuju dengan pakej belanjawan.

Terdapat juga kebimbangan mengenai tindak balas keganasan di Asia Barat apabila Presiden Donald Trump mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

"Pasaran sedang mengalami pembetulan yang sihat selepas rali dalam tempoh tiga bulan lalu, atau enam bulan. Saya tidak fikir kita perlu panik," kata Hirokazu Kabeya, ketua strategi global di Daiwa Securities. - Reuters

69 dibaca
Berita Harian X