Jumaat, 12 Januari 2018 | 2:45pm
- Gambar hiasan

Jangkaan minyak mentah AS$60-AS$70 hingga 2020

LONDON: Harga minyak mentah global diunjur kekal pada paras semasa dengan purata antara AS$60 hingga AS$70 setong sehingga penghujung 2020, menurut kaji selidik tahunan yang dijalankan Reuters.

Harga unjuran itu berubah sedikit sejak tinjauan terakhir tahun lalu dan lebih tinggi sedikit daripada kaji selidik yang dijalankan pada 2016.

Unjuran jangka panjang sekitar AS$70 setong dengan ramalan menyatakan ia didagangkan dalam lingkungan AS$60 hingga AS$70 setong, pada tahun ini dan sekitar AS$60 hingga AS$80 setong menjelang 2020.

Angka itu berdasarkan kaji selidik yang dihantar kepada lebih 7,000 profesional pasaran tenaga dan dijawab oleh lebih 1,000 responden antara 9 Januari hingga 11 Januari.

Harga Brent pada 2018 diramalkan sekitar AS$65 setong, tinggi sedikit berbanding unjuran pada tahun lalu antara AS$60 hingga AS$65 setong.

Harga Brent pada 2019 dijangka pada purata AS$65 hingga AS$70 setong, berbanding tinjauan pada 2017 kira-kira AS$65.

Antara responden kaji selidik, sebanyak 25 peratus terbabit secara langsung dalam pengeluaran minyak dan gas manakala kebanyakan yang lain terbabit dalam perbankan dan kewangan (18 peratus), penyelidikan (9 peratus), dana lindung nilai (9 peratus) dan perkhidmatan profesional (8 peratus).

Secara keseluruhan, individu dalam industri minyak dan gas dan mereka yang berada di luar industri mempunyai pandangan yang sama mengenai prospek harga minyak mentah pada 2018. - Reuters

150 dibaca
Berita Harian X