Jumaat, 12 Januari 2018 | 6:47pm

Ringgit terus ditutup kukuh berbanding dolar

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum kenaikannya mengatasi dolar AS hari ini, didorong oleh data perkilangan yang lebih baik daripada jangkaan dan harga minyak mentah yang kukuh di tengah dolar AS yang lebih lembap.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 3.9700 / 9730 berbanding dolar AS, memperoleh 150 mata asas daripada penutupan 3.9850 / 9900 pada hari Khamis.

Ketua Perniagaan Perdagangan Oanda Corp untuk Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata ringgit berada di kemuncak sekali lagi selepas pengeluaran data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) lebih baik daripada yang dijangka semalam.

"Data IPI, yang meningkat lima peratus pada November 2017, menaikkan pandangan pasaran mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah Januari Bank Negara Malaysia," katanya.

Sementara itu, peniaga lain berkata, harga minyak mentah lebih kukuh, yang menyaksikan penanda aras minyak mentah Brent terus melonjak melebihi AS$69 setong hari ini, turut memberi sokongan kepada ringgit.

"Ini kerana harga minyak mentah yang lebih tinggi dapat meningkatkan hasil minyak dan gas negara," katanya.

Peniaga itu menambah bahawa kelemahan dalam dolar AS, dititikberatkan oleh kejatuhan data harga pengeluar Disember, juga memberi manfaat kepada ringgit.

Pada tengah hari, ringgit berada pada 3.96 berbanding dolar AS dan peniaga masih yakin bahawa ia boleh menguji tahap 3.95 pada bila-bila masa tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, pada penutup, ia didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama dalam pengambilan untung sederhana.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9895 / 9924 dari penutupan 2.9886 / 9926 Khamis, jatuh berbanding euro pada 4.8128 / 8181 daripada 4.7605 / 7681 semalam dan turun berbanding pound kepada 5.4040 / 4084 daripada 5.3738 / 3821 semalam.

Berbanding yen, ringgit berkurangan kepada 3.5727 / 5761 daripada 3.5695 / 5749 pada hari Khamis. -BERNAMA

383 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »