Ahad, 28 Januari 2018 | 6:57pm
MENTERI Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong. - Foto Samadi Ahmad

'Haramkan mentega dari EU'

TELUK INTAN: Kesatuan Eropah (EU) perlu mengharamkan pengeluaran dan eksport mentega negara anggotanya kerana pelepasan karbon komoditi itu adalah 10 kali ganda lebih tinggi daripada minyak kelapa sawit, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

"Jika EU mahu membenarkan pengharaman minyak kelapa sawit berdasarkan pelepasan karbon, ia harus mengharamkan mentega yang 10 kali lebih mencemari alam sekitar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siew Keong berkata, satu tan pengeluaran mentega menghasilkan 23.8 tan karbon dioksida tetapi penanaman kelapa sawit yang menghasilkan satu tan minyak kelapa sawit hanya mengeluarkan 2.3 tan karbon dioksida.

"Pengeluaran mentega adalah 10 kali lebih tercemar daripada minyak sawit. Menggunakan logik mereka, kita perlu mengharamkan mentega dari EU dan EU juga harus mengharamkan pengeluaran mentega dan eksportnya," katanya.

Beliau mengulas mengenai undian yang dibuat Parlimen EU baru-baru ini untuk mengharamkan minyak sawit yang didakwa menghasilkan karbon yang tinggi.

Pada 17 Januari lalu, 429 Anggota Parlimen Eropah (MEP) mengundi mengenai resolusi untuk mengharamkan biodiesel sawit daripada campuran tenaga EU selepas 2020.

Keputusan terakhir mengenai Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II akan dibuat dalam pertemuan tiga pihak bersama dengan Majlis Kesatuan Eropah dan Suruhanjaya Eropah pada pertengahan Februari ini.

Siew Keong akan mengetuai delegasi minyak sawit ke EU bulan depan.

"Undian Parlimen EU melarang biodiesel minyak sawit akan membahayakan perdagangan dan kerjasama Eropah di Malaysia, dan Asia Tenggara.

"Kami mahu bertemu dengan sekurang-kurangnya lima menteri kerajaan Eropah dan Majlis Kesatuan Eropah. Kami akan menggesa mereka untuk menolak undian Parlimen EU mengenai biodiesel minyak kelapa sawit.

"Diskriminasi perdagangan terhadap sawit tidak akan diterima," katanya.

Beliau berkata, Menteri Kerjasama Perdagangan dan Pembangunan Luar Belanda, Sigrid Kaag, akan ke Malaysia minggu depan untuk berbincang mengenai perdagangan minyak sawit.

"Tahun lalu, daripada dua juta tan minyak kelapa sawit Malaysia dihantar ke EU, setengahnya melalui Belanda," katanya menambah pelabuhan Rotterdam adalah pintu masuk utama ke Eropah.

2922 dibaca
Berita Harian X