Rabu, 14 March 2018 | 2:05pm

Moody's jangka harga minyak AS$45-AS$65 setong

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service menaikkan unjuran harga minyak mentah jangka sederhana kepada antara AS$45-AS$65 setong daripada AS$40-AS$60 setong.

Bahagian penyelidikan agensi penarafan global itu, berkata kenaikan harga itu didorong sekatan pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang berterusan dan pertumbuhan permintaan global yang kukuh.

Kedua-dua faktor berkenaan menyumbang kepada penurunan stok minyak mentah global, sekali gus mengimbangi peningkatan pesat pengeluaran syal Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama katanya, Moody's mengekalkan unjuran harga gas asli untuk Amerika Utara mengikut ukuran Henry Hub, ukuran utama industri bagi harga gas asli, pada AS$2.50-AS$3.50 per juta unit termal British (MMBtu).

Namun begitu, ia menaikkan harga untuk cecair gas asli (NGL) kepada antara AS$20 hingga AS$30 setong daripada AS$19 hingga AS$ 27 setong.

"Harga ini jika meningkat melebihi paras separuh teratas dalam jajaran berkenaan, ia akan menggalakkan pertambahan bekalan, pengeluaran dari AS meningkat, manakala negara pengeluar lain mengurangkan pematuhan kuota pengeluaran masing-masing," kata Naib Presiden Kanan Moody's, Terry Marshall.

Katanya, jika harga minyak mentah mencecah paras tertinggi dalam jajaran unjuran paras harga baharu iaitu AS$45-AS$65 lebih awal dalam tahun ini, namun pihaknya menjangka harga akan kekal dalam jajaran ini untuk jangka sederhana.

Penganalisis Moody melihat unjuran jangka sederhana sebagai pertimbangan harga yang paling relevan apabila menilai prestasi kewangan dan penarafan untuk syarikat pengeluar dan negara pengeksport minyak.

Menurut agensi penarafan itu, penekanan pada pelbagai hasil dalam lingkungan harga itu membantu menilai daya tahan terhadap kemeruapan harga dan penilaian kredit untuk syarikat milik kerajaan yang diberikan.

Harga minyak meneguh sejak perjanjian OPEC pada November 2016 untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 1.2 juta tong sehari (bpd), sementara ahli bukan OPEC, yang diketuai oleh Russia, bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 558,000 tong sehari.

Penganalisis mendapati OPEC berjaya mematuhi sekatan pengeluaran itu dengan sangat baik dengan jumlah keseluruhan pemotongan disumbang oleh Arab Saudi yang melebihi sasarannya manakala Venezuela turut melebihi sasarannya berikutan masalah domestik.

Hasilnya, kata Marshall, pengurangan inventori minyak mentah global, yang mana menyumbang kepada harga minyak yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Moody's dalam kenyataan berasingan berkata, pertumbuhan sektor kewangan Islam akan terus mengatasi aset konvensional merentas seluruh pasaran kewangan Islam teras, pada tahun-tahun akan datang, memandangkan permintaan ke atas instrumen kewangan yang mematuhi syariah, meningkat.

Penembusan perbankan Islam di negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), katanya, meningkat kepada 45 peratus daripada keseluruhan pasaran perbankan sehingga September 2017 berbanding 31 peratus pada 2008.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanannya, Nitish Bhojnagarwala, berkata sektor kewangan Islam akan disokong oleh kerajaan, yang bertujuan untuk mengembangkan industri kewangan Islam di dalam dan luar negara, selain permintaan berterusan ke atas produk Islam oleh individu.

Penembusan penanggung insurans Islam ke Asia Tenggara dan Afrika Utara juga akan mendorong pertumbuhan dalam industri, katanya.

Terbitan Sukuk meningkat 17 peratus pada 2017 kepada $100 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh kerajaan GCC.

194 dibaca
Berita Harian X