Rabu, 14 March 2018 | 6:37pm
PASARAN saham Asia merosot pada Rabu susulan berita mengenai langkah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggantikan Setiausaha Negaranya. - Foto hiasan

Saham Asia susut

HONG KONG: Pasaran saham Asia merosot pada Rabu susulan berita mengenai langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggantikan Setiausaha Negaranya.

Ia sekaligus mencetuskan kebimbangan ketidakstabilan dalam Rumah Putih dan pendekatan yang lebih tegas terhadap hal ehwal luar negara.

Berita bahawa Rex Tillerson dipecat menjejaskan pasaran ekuiti AS, yang meningkat pada awal dagangan kelmarin.

Tillerson dilihat mengambil pendekatan yang lebih pragmatik dalam pelbagai isu, terutama mengenai perdagangan global dan perjanjian nuklear Iran.

Beliau akan digantikan oleh Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), Mike Pompeo, yang mempunyai pendirian terhadap perdagangan dengan China dan Iran.

Menambah kegelisahan dalam pasaran adalah laporan Trump sedang mempertimbangkan untuk menekan China berhubung dakwaan kecurian harta intelek, dengan pengumuman tarif sektor teknologi yang mungkin akan dikeluarkan minggu depan.

Ketiga-tiga pasaran AS ditutup rendah dan Asia juga menjejakinya.

Tokyo jatuh 0.9 peratus, sementara Hong Kong berkurangan 0.5 peratus dan Shanghai menyusut 0.6 peratus.

Sydney jatuh 0.7 peratus, Singapura susut 0.5 peratus dan Seoul 0.4 peratus lebih rendah dan Wellington, Manila dan Taipei juga mencatatkan kejatuhan.

Berita itu membayangi perangkaan yang menunjukkan inflasi AS merosot pada Februari berbanding Januari, yang menarik semula perhatian bahawa kemajuan ekonomi mendorong Rizab Persekutuan AS menaikkan kos pinjaman empat kali tahun ini, berbanding tiga kali seperti yang dijangkakan sebelum ini.

Angka berkenaan, digabungkan dengan pemecatan Tillerson menyebabkan dolar AS susut berbanding yen dan pound, dengan pound juga mendapat sokongan daripada kemajuan unjuran ekonomi British.

Semalam, peniaga terus menjual dolar AS berbanding mata wang utama lain serta kebanyakan mata wang hasil tinggi.

Pada awal dagangan Eropah, London dan Paris jatuh 0.1 peratus, sementara Frankfurt tidak berubah. - AFP

120 dibaca
Berita Harian X