;
Rabu, 28 March 2018 | 8:28pm

Ringgit catat paras tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatan semalam untuk ditutup pada nilai tertinggi baharu dalam tempoh lebih 31 bulan hari ini, selepas mencecah paras tertinggi sebelum ini pada 4 Ogos 2015.

Prestasi positif ringgit hari ini disokong minat belian berterusan ​susulan penyusutan mendadak semalaman penanda aras hasil bon Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, mata wang tempatan naik 135 mata asas untuk ditutup pada 3.8620/8660 daripada​​​​​​​ 3.8755/8785 pada Selasa.

Ringgit merekodkan paras tertinggi sebelum ini pada 4 Ogos 2015 iaitu 3.8520/8550 berbanding dolar AS.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata hasil bon AS semalaman bergerak kepada paras di bawah 2.79 peratus, menjadikan bon dalam denominasi ringgit sangat menarik dari segi​​​​​​​ perspektif dagangan.

"Ringgit dan pelabur bon Sekuriti Kerajaan Malaysia berkedudukan sangat kecil.

"Bagaimanapun, dengan hasil AS yang rendah, pelabur mengambil faedah dan membeli bon tempatan yang mendorong ringgit untuk meningkat," katanya kepada Bernama, hari ini.

Nota tempatan juga diniagakan kukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen kepada 3.6541/6589 daripada 3.6665/6697 pada Selasa dan naik​​​​​​​ berbanding dolar Singapura kepada 2.9506/9541 daripada 2.9613/9645.

Mata wang tempatan stabil berbanding euro kepada 4.7850/7915 daripada 4.8110/8152 pada Selasa dan tinggi berbanding pound kepada 5.4655/4731 daripada 5.4745/4795 semalam.

-- BERNAMA

1561 dibaca
Berita Harian X