Isnin, 16 April 2018 | 6:46pm

Harga minyak sawit dijangka meningkat

PETALING JAYA: Harga minyak sawit dijangka melepasi RM2,600 satu tan pada pertengahan 2018 daripada harga semasa RM2,400 satu tan, berikutan permintaan global yang teguh.

Penganalisis Kanan MIDF Amanah Investment Bank, Alan Lim Seong Chun, berkata pihaknya optimis terhadap harga minyak sawit kerana bekalan pesaingnya, kacang soya menurun sedikit.

"Permintaan minyak sawit global dijangka meningkat apabila bekalan pesaingnya, kacang soya menurun sedikit," katanya kepada pemberita di persidangan pasaran anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Datuk Kalyana Sundram; Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Pasaran MPOC, Faudzy Asrafudeen Sayed Mohamed; Naib Presiden Kanan Pembangunan Produk Komoditi Bursa Malaysia Derivatives, Moriazi Mohamad.

Seong Chun berkata, cuaca kering di Argentina telah mengurangkan bekalan kacang soya sebanyak 30 peratus dan tahun ini, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat menganggarkan kawasan tanaman kacang soya Amerika berkurang sebanyak satu mata peratusan kepada 36 juta hektar.

 

"Ini menyebabkan harga minyak soya global naik lapan peratus setakat ini, tahun ini," katanya.

 

Seong Chun berkata, satu lagi faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga minyak sawit ialah permintaan global untuk minyak sawit sebagai persediaan bulan Ramadan dan sambutan Aidil Fitri dalam kalangan negara-negara Islam.

Beliau berkata, stok minyak sawit Malaysia dijangka berada pada 2.13 juta tan pada akhir April.

"Menjelang pertengahan 2018, harga minyak sawit dijangka melebihi RM2,600 satu tan daripada purata semasa sebanyak RM2,400," katanya.

 

Ahli Ekonomi RHB Investment Bank, Vincent Loo, menjangkakan purata harga minyak sawit pada sekitar RM2,550 satu tan apabila penggunaan biodiesel global meningkat, yang mana minyak sawit akan berdagang sejajar dengan niaga hadapan minyak mentah Brent yang telah diniagakan melebihi AS$70 satu tong pada bulan lalu.

Sementara itu, Moriazi berkata, niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) di Bursa Malaysia baru-baru ini telah dilanjutkan untuk kemudahan peniaga minyak sayur-sayuran.

 

"Kami telah melebarkan dagangan FCPO, menambah 30 minit masa dagangan, menambahkan lebih banyak bulan kontrak dan membenarkan keupayaan mengesan minyak sawit ke kilang masing-masing," katanya.

371 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »