;
Isnin, 16 April 2018 | 7:06pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutan Jumaat lalu dan ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini susulan minat belian yang lemah, menjejaki sentimen serantau yang terus dibelenggu ketegangan geopolitik dan perdagangan, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 3.8865/8905 berbanding 3.8785/8815 pada penutupan Jumaat.

Ketua Pedagang OANDA Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata pasaran bon dan mata wang dijangkakan kekal lengang namun didagangkan defensif menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

"Walaupun harga minyak terus menyokong ringgit, ia tidak dapat mengelak ketegangan geopolitik yang semakin meningkat serta kemungkinan peningkatan perang perdagangan yang terus menjejaskan keadaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dengan paras terendah pada 3.87 bagi ringgit, pedagang enggan memasuki pasaran sementara menunggu paras ringgit yang lebih tinggi.

"Namun sehingga sentimen risiko serantau ditangani, ringgit dan mata wang Asia lain akan terus tertekan dalam jangka terdekat.

"Kami menjangkakan ringgit akan mengukuh dan bergerak pada paras lebih tinggi dalam jangka terdekat pada julat antara 3.88 dan 3.90 berbanding dolar," kata Innes.

Ringgit didagangkan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9634/9669 berbanding 2.9573/9603 pada Jumaat, rendah berbanding yen kepada 3.6251/6292 daripada 3.6042/6080 Jumaat lalu.

Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 4.8049/8110 daripada 4.7837/7878 minggu lalu dan berbanding pound British, nota tempatan itu susut kepada 5.5585/5646 daripada 5.5393/5451 sebelumnya. - BERNAMA

401 dibaca
Berita Harian X