Selasa, 11 Julai 2017 | 7:37am

Austria cadang pantau WhatsApp, Skype

VIENNA: Austria bercadang untuk memberi kebenaran kepada polis untuk memantau aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan Skype dalam usaha 'menutup ruang' kepada penjenayah yang kebelakangan ini mengelak menggunakan telefon.

Berikutan itu, jurucakap Kementerian Kehakiman berkata kepada Reuters, kerajaan meminta ahli politik, pakar teknologi, pejuang hak asasi dan pakar undang-undang, menggubal draf undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa memantau komunikasi menerusi beberapa sistem pesanan dan aplikasi.

Seorang pegawai kementerian berkata, ketika ini pengawasan sedemikian hanya akan dibenarkan dengan perintah mahkamah untuk tujuan penyiasatan aktiviti pengganas atau jenayah yang membawa hukuman sekurang-kurangnya lima tahun penjara.

Setakat ini, masih belum pasti bagaimana Austria bakal menguatkuasakan rancangan itu, tetapi ada cadangan supaya satu perisian dipasang pada komputer dan peranti mudah alih yang disyaki menggunakan peralatan mesej yang mencegah kerajaan daripada mengaksesnya dengan teknik tradisional.

Peralatan seperti itu ada dijual segelintir firma pengeluar yang mengkhusus kepada perniagaan menjual peralatan pengawasan atau 'spyware' kepada kerajaan.

Menurut kementerian itu, negara-negara Eropah lain yang sudah menguatkuasakan undang-undang yang sama, termasuk Perancis, Itali, Poland dan Sepanyol.

- Reuters

Berita Harian X