Khamis, 3 Ogos 2017 | 7:33am

Pelapik Targus terbaharu beri kelainan

Meskipun iPad Pro baharu berada di pasaran negara ini sejak awal Julai lalu, sudah terdapat begitu banyak pelapik tablet berkenaan untuk dipilih.

Pemain utama dalam aksesori perkomputeran tablet, Targus tidak mahu ketinggalan apabila menampilkan pelapik siri VersaVu yang mempunyai keupayaan membuat pusingan 360 darjah dan menegak.

Pelapik Targus ini ternyata mengetengahkan portfolio yang tegap. Hanya satu bahagian kecil yang tidak ditutupi pada pelapik terbabit iaitu bahagian belakang di mana logo Apple akan tertera dengan jelas.

Pelapik siri VersaVu itu direka dengan menggunakan bahan bermutu tinggi bagi memenuhi ciri rekaan iPad Pro bersaiz 10.5 inci dan 12.9 inci.

Di bahagian belakang terdapat bingkai plastik yang direka khas untuk iPad Pro manakala klip di bahagian tengah memang memudahkan pengguna.

Selain keupayaan membuat pusingan 360 darjah, pengguna turut boleh mengubah mod landskap dan potret mengikut kehendak mereka.

Malah, pelapik VersaVu juga berperanan sebagai pemegang yang amat berguna ketika menonton video di tempat duduk anda sewaktu menaiki pesawat.

Tidak ketinggalan, pengguna tidak perlu bimbang terhadap keselamatan skrin iPad Pro mereka kerana bahagian luar pelapik mempunyai sentuhan mikrofiber kemas.

Bukan mahu mendabik dada, pelapik VersaVu menawarkan perlindungan gred tinggi sekiranya tablet anda terjatuh pada ketinggian 1.2 meter di atas konkrit.

Pelapik Targus VersaVu untuk iPad Pro 12.9 inci dijual pada harga RM269 dan RM279 manakala untuk iPad Pro 10.5 inci dijual pada harga RM199 dan RM219.

Memang harga agak mahal tetapi ia sesuai untuk ahli perniagaan kerana rekaan yang sofistikated dan pelindung luaran yang kuat.

379 dibaca
Berita Harian X