Ahad, 3 September 2017 | 4:49pm
Apple dijangka melancarkan model iPhone terbaharu sempena sambutan ulang tahun ke-10 telefon pintar itu. - Foto AFP

Apple dijangka perkenal iPhone baharu

SAN FRANCISCO: Apple dijangka melancarkan model iPhone terbaharu sempena sambutan ulang tahun ke-10 telefon pintar itu.

Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu sudah menghantar jemputan media bagi acara yang dijadualkan pada 12 September ini.

Acara yang amat dinantikan itu akan menjadi yang pertama dibuat di kampus 'angkasa' Steve Jobs Theather, yang terletak di Lembah Silikon.

Undangan Apple itu dibuat dalam gaya yang menjadi identitinya, dengan hanya memaparkan sedikit maklumat mengenai tarikh, masa, lokasi dan mesej yang berbunyi, 'Mari jumpa di sana'.

Apple yang berpangkalan di California itu sedang mencari cara untuk mengekalkan imejnya berikutan pertumbuhan yang perlahan dalam pasaran global ketika ini.

"Amat jelas sekali Apple mahu melakukan sesuatu yang berbeza pada sambutan ulang tahun ke-10 iPhone," kata Penganalisis Kumpulan NPD, Stephen Baker kepada AFP.

Beberapa laporan menyebut, telefon pintar baharu itu akan memuatkan ciri berkualiti tinggi, skrin yang canggih dan disertakan dengan peranti telinga yang berkualiti serta kamera tambahan yang menyokong fungsi pengecaman wajah 3D dan swafoto.

Segelintir pihak lagi membuat spekulasi bahawa set telefon pintar baharu itu akan mempunyai kaca yang menawarkan pengecasan tanpa wayar.

"Kami menjangkakan pembaharuan rekaan yang besar daripada Apple.

"Orang ramai melihatnya sebagai satu simbol status, jadi ia harus kelihatan berbeza daripada Huawei atau Xiaomi dan saya rasa ia akan berlaku," kata Penganalisis GobalData Avi Greengart kepada AFP

Apple enggan memberi sebarang komen terhadap spekulasi itu, yang antara lain menyebut terdapat tiga set telefon iPhone baharu, termasuklah harga model premium yang dijangka sekitar AS$1,000 (RM4,270). - AFP

5600 dibaca
Berita Harian X