Selasa, 12 September 2017 | 3:40pm
MODEL Samsung Galaxy Note 8. - Foto Reuters

Tempahan Galaxy Note 8 tertinggi

SEOUL: Samsung Electronics Co berkata tempahan bagi telefon pintar premium Galaxy Note 8 adalah yang tertinggi bagi siri Note, mengatasi model Note 7 sebelum ini.

Samsung membuat pertaruhan terhadap peranti itu bagi melindungi penguasaan pasaran dalam persaingan dengan model terkini iPhone keluaran Apple Inc yang akan didedahkan dalam tempoh terdekat.

Jualan Note 8 bermula di Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.

Pratempahan mencecah sekitar 650,000 unit dalam tempoh lebih lima hari di 40 negara.

Presiden Samsung Electronics Bahagian Perniagaan Komunikasi Mudah Alih, DJ Koh, menyifatkan maklum balas terhadap Note 8 sebagai 'begitu menggalakkan'.

Peranti itu gantian kepada Note 7 yang berdepan dengan masalah bateri mudah terbakar hingga menyebabkan Samsung menarik keluar peranti itu daripada pasaran.

Ini mengakibatkan reputasinya tercemar. Pengeluar telefon pintar terbesar dunia berdasarkan perkongsian pasaran itu, bagaimanapun, memutuskan untuk meneruskan pengeluaran jenama Note selepas kaji selidik menunjukkan 85 peratus daripada 5,000 pengguna Galaxy Note meluahkan kesetiaan kepada jenama itu, kata Koh. - Reuters

687 dibaca
Berita Harian X