Khamis, 12 Oktober 2017 | 6:02pm
TEMPAT letak kereta khas untuk untuk kenderaan hibrid dan kenderaan elektrik boleh mengecas Kereta Elekterik (ChargEV) sebanyak 66 Stesen PETRONAS di lebuhraya utama Semenanjung Malaysia.- Foto fail NSTP

PDB, TNBES, Greentech Malaysia akan pasang 100 stesen ChargEV

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) memeterai perjanjian tiga pihak dengan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) dan TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES) untuk memasang 100 stesen mengecas kenderaan elektrik, ChargEV, di seluruh negara menjelang 2018.

Ketiga-tiga pihak juga menimbang kemungkinan strategik untuk menambah bilangan stesen ChargEV secara beransur-ansur bagi menampung permintaan pasaran, kata syarikat terbabit dalam satu kenyataan bersama di sini, hari ini.

Perjanjian perkongsian itu dimeterai semasa Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM 2017) di sini, hari ini.

"PDB juga akan mengkaji untuk memasang panel fotovoltaik solar di 100 stesen terpilih, justeru tenaga yang digunakan untuk memberi kuasa kepada ChargEV akan boleh diperbaharui sepenuhnya dan bebas karbon, menjadikannya benar-benar hijau," kata PDB dalam kenyataan itu.

Perkongsian itu lanjutan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 2016 antara PDB dan GreenTech Malaysia untuk memasang 66 stesen ChargEV.

Setakat ini, 55 stesen ChargEV telah dipasang di stesen Petronas di seluruh negara.

"Kami akan terus memantau sambutan pasaran dari semasa ke semasa dan tidak akan teragak-agak untuk menambah bilangan stesen ChargEV sekiranya permintaan terhadap kemudahan itu meningkat," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

Selain kemudahan mengecas kenderaan elektrik dan panel fotovoltaic solar, GreenTech Malaysia dan TNBES juga akan membantu menukarkan 100 stesen terpilih menjadi stesen cekap tenaga dengan memasang lampu dan penyaman udara yang jimat tenaga serta menyepadukan sistem pengurusan tenaga di setiap stesen ini.

"TNBES akan menyediakan penyelesaian gaya hidup cekap tenaga yang inovatif yang saling memberi manfaat kepada rakan kongsi kerjasama kami.

"Kami percaya kerjasama ini akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga hijau di Malaysia," kata Pengarah Urusan TNBES, Dr Ahmad Jaafar Abd Hamid.

Sementara itu, komitmen PDB untuk menjadikan stesen Petronas zon hijau yang mesra alam untuk menyokong sasaran Malaysia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 seperti yang dijanjikan semasa Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu 2015.

"PDB mencari peluang yang lebih menarik di bawah kerjasama sinergi baharu ini dalam menyokong agenda hijau negara," kata syarikat itu. - BERNAMA

149 dibaca
Berita Harian X