Ahad, 12 November 2017 | 6:35pm
FOTO hiasan.

Rakyat Malaysia paling ramai beli dalam talian

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia merekodkan prestasi paling tinggi dari segi jumlah tempahan menerusi penyedia e-dagang milik Ali Baba Group (Alibaba), hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding Singapura.

Menerusi satu kaji selidik data 11.11 Singles' Day, rakyat negara ini merekodkan purata hampir 6,000 tempahan dalam tempoh sejam, iaitu enam kali ganda daripada prestasi kebiasaan.

Kajian itu turut mendedahkan Malaysia berada di kedudukan teratas dengan lebih 41 tempahan setiap minit, disusuli Singapura dengan 22 tempahan, Indonesia (15), Filipina (7), Taiwan (7) dan Thailand (3).

"Hampir 60 peratus daripada trafik web dan aplikasi datangnya daripada pelanggan baharu. Ini menandakan kemungkinan bahawa festival Singles' Day menggalakkan lebih banyak orang membeli-belah, termasuk petunjuk positif kepada tahap keberkesanan sambungan pelayar unik, ShopBack serta Ultimate Guide yang dibangunkannya," kata kaji selidik itu.

Kaji selidik yang dilaksanakan portal milik Alibaba, iaitu Taobao, Tmall dan AliExpress menerusi kerjasama dengan ShopBack yang dilaksanakan ke atas enam negara, iaitu Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand dan Taiwan merujuk kepada festival beli-belah dikenali 11.11 Singles' Day.

Kaji selidik itu menjelaskan tawaran menarik, promosi dan pulangan tunai mengurangkan sekatan kepada pelanggan untuk mencuba platform e-dagang.

"Alibaba menjelaskan bahawa 90 peratus daripada jualan dilakukan menerusi peranti mudah alih. Bagi kami, walaupun trafik aplikasi mengatasi web di enam negara berkenaan, ia tidaklah terlalu tinggi.

"Ini menunjukkan desktop masih relevan di sebahagian destinasi di dunia ini dan ini mungkin disebabkan oleh kemudahan menggunakan desktop untuk menyelidik dan melihatnya dalam pelbagai paparan," katanya.

Mendedahkan lebih banyak data mengenai Malaysia, kaji selidik itu menjelaskan, kebanyakan rakyat negara ini membeli-belah selepas tengah malam, dengan tempahan tertinggi di Malaysia berjumlah RM11,000 menerusi ShopBack.

"Masa beli-belah paling popular bagi Malaysia dan Singapura ialah 12 tengah malam hingga 12.59 tengah malam," katanya.

Pada peringkat serantau, perbelanjaan purata pelanggan membelanjakan AS$30 (RM125.80) menerusi 11.11 Singles' Day.

Bagi Malaysia, purata perbelanjaan setiap pelanggan lebih rendah, iaitu AS$24 (RM100.60).

INFO

Tempahan 11.11 Singles' Day

Web (%) Aplikasi (%)

Singapore 40 60

Malaysia 40 60

Filipina 25 75

Indonesia 30 70

Thailand 40 60

Taiwan 40 60

772 dibaca
Berita Harian X