Isnin, 13 November 2017 | 2:20pm
DEPOH MRT Sungai Buloh. - Foto Zunnnur Al Shafiq

Kaedah struktur kontraktor tunggal MRT3 lebih jimat

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Bhd (MRT Corp) bercadang mengguna pakai struktur kontraktor tunggal atau 'turnkey' dalam melaksanakan projek laluan Tren Aliran Transit Massa 3 (MRT3) kerana dikenal pasti berupaya menjimatkan wang kerajaan sehingga berbilion ringgit.

Menerusi struktur itu, kontraktor yang dipilih perlu menguruskan semua pelaksanaan projek MRT 3 yang merangkumi kejuruteraan, pembinaan, pemerolehan, teknikal, sistem dan pembiayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata sebelum ini, untuk laluan MRT 1 dan 2, kerajaan melantik rakan pelaksana projek (PDP) bagi memantau perkembangan kerja projek yang membabitkan laluan bertingkat saja.

Katanya, bagi laluan bawah tanah untuk MRT 1 dan 2, PDP tidak dilantik tetapi MRT Corp yang bertanggungjawab memantau kerja projek termasuk penyampaian, kualiti dan keselamatan.

"Dalam projek MRT3, sebanyak 80 peratus atau 30 kilometer (km) daripada 40 km jajaran laluannya ialah bawah tanah, maka tidak perlu PDP kerana MRT Corp sendiri layak dan berkebolehan untuk memantau segala perkembangan projek.

"Bagi kerja membabitkan sistem, kami yakin sudah mempunyai pengalaman dan pengetahuan secukupnya bagi memastikan MRT Corp mampu memantau perkembangan kerja dibuat dengan baik.

"Malah, pendekatan baharu ini membolehkan kami mendapatkan pilihan terbaik dari segi pembiayaan projek yang mana syarikat pasti mahukan kos paling rendah, terutama dari segi kadar faedah.

"Ini sekali gus menjimatkan wang kerajaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menerusi struktur projek baharu itu, Shahril berkata, pihaknya akan memastikan kontraktor tempatan termasuk Bumiputera turut mendapat peluang dalam projek MRT3.

Katanya, pihaknya sudah menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kuota projek MRT 3 diperuntukkan untuk Bumiputera.

"Tidak benar laporan mengatakan tiada syarikat tempatan yang layak untuk melaksanakan projek ini jika struktur kontraktor tunggal diguna pakai berbanding PDP sebelum ini.

"Jika keseorangan mungkin sukar, tetapi mereka boleh untuk menjalinkan usaha sama atau membentuk konsortium sesama mereka atau dengan syarikat asing bagi membida projek ini.

"Malah, syarikat asing yang bekerjasama dengan syarikat tempatan mempunyai peluang lebih baik untuk dipilih dalam projek ini," katanya.

Shahril berkata, pihaknya mempunyai pilihan lain jika mendapati tiada syarikat menawarkan kadar pembiayaan kompetitif untuk projek MRT3 dengan beralih kepada kaedah diguna pakai sebelum ini iaitu mendapatkan pembiayaan Danainfra.

"Proses bidaan dibuka pada 7 November lalu sehingga 29 Disember ini dan proses penilaian dijangka mengambil masa sebulan.

"Kami harap boleh mengumumkan pembida terpilih menjelang pertengahan Februari depan.

"Jika kami mahu beralih kepada kaedah pembiayaan menggunakan Danainfra, kami sudah bersedia dan hanya perlu bertukar.

"Prosesnya tidak mengambil masa lama dan tidak menjejaskan projek ini secara keseluruhannya," katanya.

Info MRT 3

- Jarak 40 km, mempunyai 26 stesen dengan 19 laluan bawah tanah

- Akan mula dibina pada suku ketiga tahun 2019

- Dijangka siap pada tahun 2025

- Tender mula dibuka pada 7 November lalu sehingga 29 Disember ini

- 30 peratus kuota sekurang-kurangnya untuk kontraktor Bumiputera

366 dibaca
Berita Harian X