Isnin, 13 November 2017 | 3:29pm
NAIB Pengerusi Obor Net Sdn Bhd, Tunku Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin (tiga dari kiri) membuat pertukaran dokumen bersama Pengarah Urusan Sterling Red Sdn Bhd, Tuan Syed Fuad Al-Kharid (tiga dari kanan) diperhatikan Pengerusi Obor Net Sdn Bhd, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaa'far (dua dari kanan) dan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fatah Abdullah (dua dari kiri) pada Sidang Media dan Majlis Pelancaran 'MAYA2U' Business Collaboration For Digital Gateway to One Belt Road Countries di Westpoint 2, Sunway Clio, Bandar Sunway. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

13,000 koperasi dapat manfaat MAYA2U

PETALING JAYA: Lebih 13,000 koperasi di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) akan mendapat manfaat daripada pembangunan portal dagangan internet MAYA2U.

Portal yang dibangunkan dengan kerjasama Sterling Red Sdn Bhd dan OBOR Net Sdn Bhd itu berperanan mengintegrasikan pasaran lebih 65 negara menerusi Satu Jalur Satu Laluan (OBOR) menggunakan platform ASEAN2U.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata MAYA2U membolehkan lebih lapan juta ahli ANGKASA menyertai perniagaan e-dagang ASEAN2U-OBORNet bagi membolehkan mereka menyertai pasaran negara OBOR.

Katanya, kerjasama itu adalah pembangunan Business-to-Business-to-Commercial (B2B2C) yang pertama di negara ini, sekali gus akan mencipta ekosistem sehenti untuk memudahkan perdagangan merentasi sempadan dan pertumbuhan jualan domestik dan antarabangsa yang baik.

"Sasaran pertama ialah berurusniaga dengan negara China, sebelum diperluaskan ke Hong Kong dan Taiwan serta ke seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran 'MAYA2U' dan Memeterai Perjanjian (MoU) Perniagaan Untuk Laluan Digital (OBOR), antara Sterling Red dan OBOR Net, di sini, hari ini.

Ia disaksikan Pengerusi Obor Net Sdn Bhd, Tunku Naquiyuddin Tuanku Jaa'far dan Abdul Fatah.

Sterling Red diwakili Pengerusi Eksekutif Sterling Red Sdn Bhd, Syed Ahmad Fuad Al-Kharid, dan OBOR Net diwakili Naib Pengerusi Obor Net Sdn Bhd, Tunku Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin.

Abdul Fattah berkata, kerjasama antara MAYA2U dan ASEAN2U akan memperkasakan ahli dalam menawarkan perkhidmatan lebih canggih menerusi kos yang lebih rendah.

"Bayangkan rangkaian ini dalam skala yang besar dan komprehensif ini, bakal menjadi suntikan dan rangsangan kepada pembangunan pelbagai sektor dan industri, lantas menjana pertumbuhan lebih tinggi, kepada gerakan koperasi khususnya.

"Menerusi kekuatan sebagai pertubuhan koperasi puncak (apex), untuk gerakan koperasi di negara ini dan kekuatan OBOR NET menerusi hubungan baik dengan negara OBOR, mampu memberi impak yang signifikan terhadap koperasi di negara ini," katanya.

Kekuatan platform berkenaan, amat membantu meningkatkan jaringan perniagaan koperasi dalam menembusi pasaran negara OBOR dan seantero dunia.

346 dibaca
Berita Harian X