Jumaat, 1 Disember 2017 | 12:33pm

Toyota akan bina loji sel bahanapi terbesar dunia

LOS ANGELES: Toyota Motor berkata ia akan membina loji jana kuasa sel bahanapi berskala besar dan stesen mengisi hidrogen di California.

Syarikat automotif gergasi Jepun mengumumkan projek itu di Los Angeles Auto Show, berkata kemudahan dikenali sebagai Tri-Gen itu bakal menjadi loji jana kuasa tenaga diperbaharui dan hidrogen berskala besar pertama di dunia dari segi penghasilan megawatt.

Demikian menurut laporan Nikkei Asian Review, hari ini.

Sel bahan api adalah sel elektrokimia yang menukar tenaga kimia daripada bahanapi kepada tenaga elektrik menerusi tindak balas elektrokimia bahanapi hidrogen dengan oksigen atau bahan oksidasi lain.

Sel bahan api boleh menghasilkan tenaga elektrik secara berterusan selagi bahan api dan oksigen dibekalkan.

Dijangka beroperasi pada 2020, kemudahan itu berkeupayaan menjana 2.35 megawatt tenaga elektrik dan 1.2 tan hidrogen sehari, cukup untuk kegunaan 2,350 kediaman dan hampir 1,500 kenderaan, katanya dalam satu kenyataan.

Kemudahan Tri-Gen daripada FuelCell Energy Inc akan menukar sumber buangan bio dari ladang di California kepada hidrogen, tenaga elektrik dan air.

Ia akan menyediakan tenaga mencukupi di kemudahan logistik di Port of Long Beach yang memproses kenderaan Toyota yang tiba di Amerika Syarikat (AS) dari Jepun, kata syarikat itu.

"Kami faham potensi besar untuk mengurangkan pengeluaran asap," Naib Presiden Perancangan Strategik Kumpulan Toyota, Doug Murtha.

"Tri-Gen adalah langkah penting ke arah mobiliti lestari dan pencapaian penting cabaran alam sekitar 2050 kami dalam mencapai pelepasan karbon dioksida sifar daripada operasi kami," katanya.

421 dibaca
Berita Harian X