Rabu, 28 Februari 2018 | 9:13pm
YASMIN pada forum 'Bagaimana Kecerdasan Buatan dan Internet Perkara Mempercepat Pertumbuhan, Inovasi dan Penciptaa Pekerjaan' di Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail

MDEC tubuh sekolah inovator digital

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menubuhkan Sekolah Inovator Digital tahun depan untuk memupuk bakat tempatan dalam teknologi dan inovasi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Yasmin Mahmood, berkata sekolah itu akan menampung inovator digital seawal usia 13 tahun dan kurikulum akademik yang dibangunkan secara bersama dengan penggiat industri serta memberi penekanan kepada inovasi.

Sekolah itu akan didirikan dengan kerjasama Maktab Rendah Sains Mara dan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik di bawah Kementerian Pendidikan dan ia akan menjadi sebahagian daripada universiti berkenaan.

"Pengambilan pertama akan dibuat pada 2019 dan kami sangat teruja dengannya. Saya percaya kita mempunyai bakat dan hanya perlu memilih mereka dari seluruh negara untuk memberikan tahap pendedahan yang tepat dalam bidang reka bentuk, teknologi dan komunikasi terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada forum 'Bagaimana Kecerdasan Buatan dan Internet Perkara Mempercepat Pertumbuhan, Inovasi dan Penciptaa Pekerjaan,' di sini, hari ini.

Yasmin berkata, pelajar akan menjalani proses pemilihan yang ketat untuk kemasukan ke sekolah berkenaan.

"Ia akan menjadi sebuah sekolah baru dengan pelajar tingkatan satu dan kami akan mengambil lebih ramai lagi. Ketika ini sambutan agak baik.

"Anda akan mempunyai orang yang mempamerkan ciri inovasi digital. Konsepnya sama dengan sekolah sukan untuk atlet. Apa yang kami pelajari daripada sekolah inovator digital ini akan diguna untuk meningkatkan kurikulum sekolah kebangsaan yang ada," tambahnya.

-BERNAMA

495 dibaca
Berita Harian X