Rabu, 7 March 2018 | 10:04pm

Peranti bioMEMs hasil penyelidikan 3 UA


ELEKTROD yang digunakan untuk peranti bioMEMs.

KUALA LUMPUR: Keupayaan untuk mengesan kehadiran benda asing atau molekul tidak normal di dalam sampel biologi, menjadi sebahagian daripada perkara asas dalam proses diagnosis penyakit.

Hampir semua ujian makmal dilakukan terhadap sampel biologi seperti air kencing, darah dan biopsi adalah untuk mengesan sama ada terdapat kewujudan molekul tidak normal pada kandungan sampel diberi.


IMEJ yang dapat dilihat di bawah mikroskop untuk populasi leukosit (berwarna ungu) bentuk dan saiznya berbanding sel darah merah disekelilingnya.

Sehubungan itu kumpulan penyelidik daripada tiga universiti awam (UA) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menjalin kerjasama mencipta peranti yang lebih berkesan khusus bagi tujuan itu.

Ketua penyelidik, Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri, berkata kelebihan peranti bioMEMs dibangunkan kumpulan diterajuinya itu mampu untuk menggerakkan sel yang mempunyai bentuk berlainan daripada populasi sel yang didiami.

Beliau berkata, fungsi itu penting untuk membolehkan peranti berkenaan mengesan kehadiran sel kanser di dalam sesuatu sampel biologi, berdasarkan bentuknya yang berbeza dengan sel lain.


IMEJ sel di bawah mikroskop yang dilihat menjauhi elektrod setelah dikenakan isyarat elektrik pada frekuensi 1.4kHz.

Pengasingan sel

"Bagaimanapun bagi tujuan penyelidikan, peranti ini juga boleh digunakan untuk mengesan sub-populasi sel darah putih di dalam sesuatu sampel darah.

"Sel darah putih atau juga dikenali sebagai leukosit, mempunyai beberapa sub-populasi termasuk neutrofil, eosinofil, basofil, monosit, dan limfosit.

"Setiap sub-populasi ini mempunyai bentuk dan saiz yang berbeza dan memberi ruang kepada penyelidik untuk menemukan kaedah alternatif bagi tujuan pengecaman dan pengasingan sel daripada sub-populasi sampel darah ini," katanya.


PERANTI yang siap dipasang dan diletakkan di bawah kanta mikroskop bagi memerhatikan pergerakan sel.

Dengan peranti bioMEMs, kaedah dielektroforesis iaitu teknik pemisahan komponen atau molekul bermuatan berdasarkan perbezaan tingkat migrasinya dalam sebuah medan elektrik, boleh digunakan bagi proses pengecaman dan pengasingan sub-populasi sel darah putih secara automatik dan ia mengambil masa lebih singkat.

Kajian kumpulan penyelidik itu mendapati sub-populasi monosit boleh diasingkan dari sesebuah sampel darah, apabila dikenakan frekuensi medan arus elektrik.

Lebih singkat

Beliau berkata, dengan menggunakan peranti berkenaan jumlah sampel darah yang diperlukan hanya sekitar 10 miligram (mg) sahaja, bagi membenarkan ujian dijalankan.


STRUKTUR peranti yang lengkap.

"Masa yang diambil untuk menyiapkan ujian menggunakan peranti bioMEMs ini pula hanya kira-kira lima minit, berbanding beberapa jam yang diperlukan bagi menjalankan ujian klinikal biasa di makmal.

"Ujian menggunakan teknik dielektroforesis ini juga mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja, kerana proses pengecaman dan pengasingan akan dilaksanakan secara automatik, berdasarkan sifat dielektroforesis sel yang dikehendaki.

"Selain itu, bagi ujian rutin di makmal buat masa ini, hanya kakitangan terlatih sahaja yang boleh menjalankan ujian klinikal terhadap apa sahaja sampel biologi," katanya.

INFO

  • Usaha penyelidikan masih diteruskan bagi meningkatkan keupayaan peranti dalam mengecam dan mengasing sel daripada sub-populasi lain.
  • Penyelidik bersama - Dr Rafeezul Mohamed dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM dan Dr Mohd Azhar Abd Razak dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM.
Berita Harian X