Rabu, 14 March 2018 | 10:12pm
DR Mohd Shahrizal Dolah bergambar bersama produk inovasi iaitu Medical Rescue Vest (MRV) di Ekspo Teknologi Malaysia 2018.

Inovasi penyelamat nyawa

KUALA LUMPUR: Bantuan segera cukup penting bagi menyelamatkan mangsa yang mengalami kecederaan sama ada akibat kemalangan atau bencana alam.

Kegagalan memberi bantuan awal boleh menyebabkan kecederaan dialami mangsa bertambah parah atau mungkin berisiko membawa maut, khususnya apabila terpaksa menunggu terlalu lama bagi mendapatkan rawatan.

Justeru, penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai Dr Mohd Shahrizal Dolah, terdorong mencipta inovasi jaket keselamatan untuk memenuhi keperluan bantuan awal mangsa pada saat kecemasan.

Inovasi dinamakan 'Medical Rescue Vest' (MRV) itu dibangunkan dengan menggabungkan tiga fungsi utama yang sangat diperlukan pada saat kecemasan.

Ia mampu bertindak sebagai tandu, selain sebagai pelampung dan disertakan dengan alat pertolongan cemas.

Dengan keunikan fungsi MRV itu, tidak hairanlah inovasi berkenaan mendapat pelbagai pengiktirafan, khususnya Anugerah Rekabentuk Produk Terbaik 2016, selain penghargaan bagi kategori produk daripada Human Factor Society of Malaysia 2017.

Pengiktirafan lain termasuk Anugerah Perak pada Ekspo Teknologi Malaysia 2018, malah penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dr Mohd Shahrizal berkata, inovasi jaket keselamatan dengan fungsi tiga dalam satu itu mampu membantu mangsa bencana dan kemalangan seperti banjir atau tercedera ketika aktiviti mendaki.


DR Mohd Shahrizal memberi penerangan berkenaan Medical Rescue Vest (MRV) kepada pengunjung yang datang ke Ekspo Teknologi Malaysia 2018.

Inovasi mesra pengguna

Tandu atau pengusung berfungsi membawa mangsa ke tempat lebih selamat, manakala pelampung dapat mengapungkan mangsa di permukaan air.

Alat pertolongan cemas pula disertakan bagi memberikan bantuan kecemasan sementara menunggu bantuan tiba.

Inovasi jaket keselamatan mesra pengguna ini khususnya bagi mangsa banjir dan pendaki, mempunyai reka bentuk yang tersendiri.

Ia membabitkan ruang asas pertolongan cemas yang terdapat pada kiri dan kanan MRV, pelampung keselamatan di bahagian kolar jaket dan tandu di bahagian belakang yang boleh dilipat dan kemudiannya di simpan.

Idea menghasilkan MRV tercetus apabila terdapat segelintir penyelamat yang hanya memberi bantuan tanpa mengetahui atau membaca panduan yang ada.

Selain bencana alam, terdapat banyak kes pendaki cedera terkandas di bukit atau gunung apabila tidak dapat dibawa turun kerana tiada tandu sehingga menyebabkan mereka berdepan risiko kehilangan nyawa.

Diperbuat daripada bahan berkualiti

MRV diperbuat daripada bahan berkualiti iaitu fabrik 'vinyl' dan nilon agar tahan dalam pelbagai keadaan cuaca, sama ada di dalam air atau darat, manakala pelampung pula diperbuat daripada bahan 'Ethylene Vinyl Acetate' (EVA).

Proses reka bentuk terbahagi kepada dua yang mengambil masa selama setahun, iaitu enam bulan untuk kajian lapangan dan enam bulan berikutnya untuk kerja reka bentuk bermula dari lakaran idea, perkembangan idea dan seterusnya penghantaran kertas cadangan.

Info
Pencapaian MRV

  • Anugerah Rekabentuk Produk Terbaik 2016
  • Penghargaan (kategori produk) Human Factor Society of Malaysia 2017
  • Anugerah Perak pada Ekspo Teknologi Malaysia 2018
  • Penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Berita Harian X