Rabu, 4 April 2018 | 5:57pm
JAILANI melancarkan AsiaCyberX di Subang Jaya, hari ini. - Foto BERNAMA

AsiaCyberX sasar lahir 240 pakar keselamatan siber

SUBANG JAYA: Asia Cybersecurity Exchage (AsiaCyberX), platform yang dibangunkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab keselamatan siber utama di dunia menyasarkan untuk melatih 240 pakar keselamatan siber dalam tempoh setahun.

AsiaCyberX adalah kerjasama antara LE Global Services Sdn Bhd (LGMS), ACE Accelerator Network Sdn Bhd dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam usaha menyokong keusahawanan keselamatan siber, di samping membangunkan profesional mahir bagi memenuhi permintaan dalam bidang berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Jailani Johari, berkata sebanyak tiga universiti pengajian awam dan lima universiti pengajian swasta sudah dikenalpasti untuk menyertai Program Pembangunan Keselamatan Siber MDEC selama enam minggu.

Katanya, kursus itu memberi peluang kepada generasi muda untuk menceburi bidang keselamatan siber dan menjamin peluang pekerjaan pada masa depan.

"Peserta kebanyakan daripada pelajar tahun akhir jurusan Teknologi Maklumat (IT) dan selepas tamat program berkenaan, peserta akan ditempatkan di dalam syarikat yang berpotensi tinggi," katanya ketika melancarkan AsiaCyberX di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi ACE Group, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook.

Sementara itu, Ahmad Fuzi berkata, sebanyak RM200 juta diperuntukkan kepada syarikat pemula yang berpotensi untuk berkembang dalam sektor keselamatan siber.

"Dalam sektor keselamatan siber, terdapat pelbagai peranan yang perlu diisi dan permintaan dalam sektor ini semakin meningkat.

"Platform ini akan meliputi pelbagai aspek rutin termasuk penganalisis keselamatan yang ditugaskan untuk melindungi dan mengurangkan pelanggaran keselamatan bagi memastikan setiap maklumat dilindungi," katanya.

Choong Fook pula berkata, AsiaCyberX bertujuan mengenalpasti bakat keselamatan siber yang belum diketengahkan dan usahawan yang memiliki potensi berkembang maju.

"Melalui latihan dan program mentor ini, kami ingin membawa ekosistem keselamatan siber Malaysia ke tahap baharu dengan mengukuhkan keupayaan bakat tempatan.

"Dengan meningkatkan kepelbagaian tenaga kerja siber, kami percaya kita mampu mencipta satu ekosistem bakat keselamatan siber sekali gus meningkatkan keupayaan tindakbalas terhadap ancaman keselamatan siber yang semakin berleluasa," katanya.

Pada majlis itu, satu memorandum persefahaman (MoU) antara ACE Group dan Cloud Security Alliance (CSA) turut dimeterai.

Kerjasama itu memfokuskan bidang penyelidikan, membangunkan keupayaan dan latihan dalam bidang keselamatan siber sejajar dengan penubuhan AsiaCyberX.

510 dibaca
Berita Harian X