Selasa, 24 April 2018 | 9:03pm
KUALA LUMPUR 24 APRIL 2018. Head of Xiaomi South Pacific Region, Steven Shi at Grand launch of Xiaomi's brand new phone Redmi Note 5 at Connexion Nexus Bangsar South, Bangsar South. NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

Xiaomi rancang buka enam lagi Mi Stores

KUALA LUMPUR: Pengeluar barangan elektronik pengguna berpangkalan di China, Xiaomi bercadang membuka enam lagi Mi Stores di Malaysia bulan depan, menjadikan bilangan kedainya di negara ini kepada 10.

Ketua Xiaomi Rantau Selatan Pasifik, Steven Shi, berkata kedai baharu itu terletak di Melaka, Johor Bahru, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Seberang Perai.

Pada masa ini Mi Stores terdapat di Kuala Lumpur (dua), Putrajaya dan Pulau Pinang.

Bercakap kepada media selepas melancarkan model terbaharunya, Redmi Note 5, Shi berkata, pasaran Malaysia masih menarik di tengah-tengah pasaran telefon pintar global yang semakin kukuh.

Walaupun kadar penembusan mudah alih di negara ini berada pada 130 peratus, kadar penembusan telefon pintar hanya 70 peratus, jelasnya.

"Kami masih melihat ruang untuk meningkat di pasaran yang semakin berkembang dan Malaysia adalah antara 70 negara yang menyaksikan kehadiran kami. Pasaran Malaysia adalah penting kepada Xiaomi," tambahnya.

Terdapat kebimbangan terhadap penurunan permintaan telefon pintar global berikutan rekod jualan yang lemah dalam kalangan pengeluar telefon pintar dunia.

Mengenai perancangan pengembangan Mi Stores, Shi berkata, Xiaomi menyasarkan untuk membuka sebuah di setiap bandar utama supaya produk inovatifnya tersedia untuk orang ramai.

Redmi Note 5 yang dilancarkan hari ini menawarkan dua variasi - 3 gigabyte (GB) RAM + penstoran 32GB berharga RM799 dan 4GB RAM + penstoran 64GB pada harga RM999.

Tempahan awal untuk Redmi Note 5 bermula esok di Lazada dan peralatan ini boleh dibeli di Mi Stores bermula 5 Mei.

-BERNAMA

210 dibaca
Berita Harian X