Selasa, 5 September 2017 | 1:05pm
ABD Aziz Rosli mempromosikan perniagaan cendol milik asal ayahnya di media sosial sehingga menjadi viral.- Foto Syaherah Mustafa
GERAI 'Cendol Abe Li' sentiasa dipenuhi pelanggan terutama pada musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Cendol Abe Li viral di media sosial

RANTAU PANJANG: Keenakan dan keunikan rasa pelbagai jenis cendol di gerai 'Cendol Abe Li' yang bertapak sejak 20 tahun lalu, kini menjadi viral di media sosial.

Ia hasil idea pengusahanya, Abd Aziz Rosli, 24, mempromosikan perniagaan cendol milik asal bapanya, Rosli Ibrahim, 51, melalui Facebook dan Instagram.

Graduan jurusan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Kolej Poly-Tech MARA Kampus Kota Bharu itu turut mencipta menu baharu berasaskan cendol dan kelapa menjadikan 12 menu cendol sedia menanti pelanggan.

Katanya, antara 12 jenis cendol yang disediakan ialah cendol campur, buah kabung, jagung manis, kacang merah dan kelapa muda.

"Saya mula membantu bapa berniaga cendol 10 tahun lalu ketika masih di bangku sekolah. Ketika itu, hanya tiga menu disediakan iaitu cendol biasa, buah kabung dan air kelapa.

"Namun, saya cuba membuat kelainan sendiri dan mencipta pelbagai menu baharu, tanpa menghilangkan rasa asli cendol dan yang pasti, dapat memikat selera pelanggan.

"Kebanyakan pelanggan berpuas hati dan ada antara mereka yang kembali ke sini untuk menikmati cendol di gerai saya.

"Ada juga pelanggan yang datang dari luar Kelantan selepas gerai ini menjadi viral di media sosial," katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

Gerai 'Cendol Abe Li' yang berdekatan Bazar Aminah, beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi sehingga 5.30 petang, dengan harga cendol bermula daripada RM2 hingga RM6 semangkuk.

Abd Aziz berkata, minat yang mendalam dalam perniagaan mendorongnya untuk meneruskan perniagaan milik ayahnya walaupun pernah ditawarkan kerja dalam bidang pengajiannya.

"Saya menggunakan ilmu yang ada dalam bidang pengurusan pelancongan untuk diaplikasikan dalam bidang perniagaan.

"Lagipun, saya berniaga di lokasi tumpuan pelancong," katanya.

2035 dibaca
Berita Harian X