Rabu, 11 Oktober 2017 | 2:56pm

Bijak, kreatif atur perniagaan

KUALA LUMPUR: Wanita perlu bijak mengolah sesuatu perniagaan dan lebih kreatif supaya dapat menarik ramai pelanggan mendapatkan produk mereka.

Nina Sabrina Ismail Sabri, 30, wanita jelita dan muda, kini bergelar usahawan berjaya dengan menceburi tiga bidang cabang perniagaan berbeza mendapati semua itu bukan mustahil dilakukan dengan perancangan teliti dan strategi pemasaran kreatif.

Anak Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini, mengukuhkan perniagaannya dengan usaha sendiri, bukan menggunakan tiket latar belakang bapanya.

Bermula dengan perniagaan pusat pendidikan awal kanak-kanak, Piterana Sdn Bhd (Piterana Kindergarden); kemudian membuka salun, Capello by Nina dan terbaharu; kedai kek Fluff Bakery.

Ketiga-tiga perniagaan ini menjadi kebanggaan isteri kepada pereka fesyen, Jovian Mandagie ini apabila semuanya dikendalikan dengan jayanya.

"Semuanya bukan datang bergolek, saya lakukan sendiri dengan kesungguhan. Kreatif paling utama sebagai resipi kejayaan ini," katanya kepada BH.


USAHAWAN, Nina Sabrina Ismail Sabri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Perniagaan harus ada X-faktor

Tidak kira kecil atau besar sesuatu perniagaan diusahakan, ia seharusnya memiliki X-faktor kerana ia menjadi pemangkin kepada bidang diceburi dan kena dengan trend sekarang.

Katanya, beliau memilih mengusahakan perniagaan kek cawan, umpamanya kerana melihat perniagaan ini mempunyai potensi baik dan sambutan menggalakkan.

Kek cawan adalah pemanis mulut yang sudah dikenali ramai dan mempunyai pelbagai perisa, namun kelainan yang harus ditonjolkan harus luar biasa bagi menarik perhatian orang ramai untuk mencuba.

"Saya perkenalkan kek cawan dari Singapura ini. Bagi yang tidak pernah merasai, pasti tidak tahu kelainannya kerana rasanya tidak seperti kek cawan biasa.

"Pemanis mulut yang dihasilkan ini sangat istimewa kerana setiap nama diberi melambangkan rasa sebenarnya. Contohnya apam balik, rasa memang seperti apam balik dengan inti di dalamnya adalah jagung," katanya.


NINA (kanan) bersama sebahagian kakitangan di kedai miliknya, Fluff Bakery di Taman Tun Dr Ismail. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pastikan kualiti

Nina Sabrina berkata, lebih istimewa setiap bahan untuk menghasilkan kek cawan ini dibuat sendiri bukannya menggunakan rumusan sedia ada untuk memastikan kualiti rasa dikekalkan.

Selain daripada perisa apam balik, kek cawan ini juga mempunyai 100 perisa tempatan dan pemanis mulut barat seperti durian D24, ferrero rocher, onde-onde, red velvet, mangga, coklat, karamel dan teh tarik.

Nina berkata, wanita perlu yakin dengan setiap produk dihasilkan dan melakukan strategi perniagaan dengan cara yang boleh diterima oleh orang ramai.

"Ketika awal diperkenalkan kek cawan ini, saya melakukan seperti 'pop up store' selama dua minggu dengan membawa kira-kira 1,500 kek cawan untuk dijual.

"Alhamdulillah sambutan diterima begitu memberangsangkan, iaitu dalam tempoh satu jam saja, semuanya habis. Dari situ kita melihat potensi perniagaan ini dan seterusnya membuka kedai kek Fluff Bakery," katanya yang baru mengusahakan perniagaan ini selama tiga bulan.


NINA tonjolkan kelainan kendalikan tiga perniagaan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sentiasa melihat perkembangan

Nina Sabrina berkata, hampir 1,000 kek cawan dibakar dan dihasilkan setiap hari tanpa menyimpan sebarang stok bagi memastikan kesegarannya dan keenakannya terjaga.

"Kami akan membuat pusingan perisa selama dua minggu untuk mengelakkan pelanggan jemu, selain memenuhi cita rasa dan memberi kelainan.

"Di sini juga pelanggan boleh menikmati hidangan kek cawan, minuman sambil berborak meluangkan masa bersama rakan dan sebagainya," katanya.

Status bukan penanda arus kejayaan

Kejayaan ini tidak harus diukur dari sudut status seseorang kerana ia perlu dilihat menerusi usaha dilakukan tanpa sebarang perbandingan kerana ia adalah penanda aras kepada kejayaan seseorang.

"Jika ada duit, tetapi tiada usaha juga tidak berguna. Duit bukan penentu segala-galanya kerana jika kita gagal dan tiada minat untuk mengurus sesebuah perniagaan tidak kira kecil atau besar, tidak akan ke mana.

"Justeru, saya akan pastikan sentiasa ke kedai ini untuk melihat sendiri perkembangan dan sentiasa berganding bahu dengan rakan kongsi untuk melihat apakah yang boleh diperbaiki," katanya.


NINA (tiga dari kiri) bersama sebahagian kakitangan di kedai miliknya, Fluff Bakery. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Info
Fluff Bakery

  • Sebiji kek cawan RM8.50
  • Sepotong kek RM12
  • Fluff Bakery pertama di negara ini
  • Empat rakan kongsi
623 dibaca
Berita Harian X