Rabu, 11 Oktober 2017 | 6:29pm

Perniagaan susu Holstein jana hasil lumayan


RAZALINA (kiri) melayan pelanggan yang ingin membeli susu segar keluaran Holstein, di Muadzam Shah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

MUADZAM SHAH: Masih terbayang di fikiran Razalina Abd Razak menjual kuih-muih dan kek lapis di pasar tani sekitar Kuantan pada tahun 2011 bagi menambah pendapatan selepas suaminya, Wan Hamdan Wan Kamis bersara daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Walaupun pendapatan diperoleh agak berbaloi, namun ia dirasakan tidak memadai dengan kesukaran perlu dilalui termasuk membahagikan tugas bekerja sebagai Pegawai Waran Satu TLDM di Pangkalan Tanjung Gelang, Kuantan.

Namun, keadaan berubah selepas ibu kepada enam anak berusia 39 tahun itu memutuskan menjadi pengedar produk susu jenama Farm Fresh dikeluarkan The Holstein Milk Sdn Bhd (Holstein) iaitu syarikat pelaburan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Strategi perniagaan

Razalina berkata, dia mengeluarkan modal RM500 untuk menjadi pengedar atau lebih dikenali sebagai home dealer pada Oktober tahun lalu dan mendapat bimbingan daripada stokis bagi daerah Kuantan, Hasnah Abdullah, 31, yang mendedahkannya dengan strategi perniagaan serta promosi yang betul dan berkesan.

"Saya mempromosikan produk susu Farm Fresh menerusi media sosial dan berniaga secara belian tunai (COD) serta di pasar tani sekitar Kuantan. Saya bersyukur mampu mencatat jualan sekitar RM28,000 sebulan.

"Saya memperoleh keuntungan RM4,000 sebulan dan dianggap berbaloi kerana tidak perlu bersusah payah seperti sebelum ini. Paling penting saya dapat meluangkan masa bersama keluarga dan menambah pendapatan.

"Perniagaan ini mudah dijalankan, saya boleh menghantar produk kepada pelanggan dalam perjalanan pulang ke rumah di Semambu selepas waktu bekerja, malah suami juga banyak membantu menjual susu ini di pasar tani," katanya yang mahu memfokus sepenuhnya perniagaan itu selepas bersara tahun depan.


ASMAWI (kiri) bersama Muhammad Noor (kanan) melawat kandang lembu di Ladang Holstein, Muadzam Shah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Promosi produk tempatan

Katanya, perniagaan itu sesuai dijalankan untuk mereka yang mahu menambah pendapatan sampingan dan suri rumah yang mempunyai banyak masa terluang serta kenalan ramai berpotensi menjadi pelanggan.

"Saya sendiri dapat membantu keluarga, malah anak sulung yang belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak memerlukan pinjaman melanjutkan pengajian.

"Selain menambah pendapatan, ia juga dapat mempromosikan produk susu keluaran tempatan yang kualitinya lebih baik daripada jenama antarabangsa yang kebanyakan diperbuat daripada susu tepung," katanya.

Turut mendapat manfaat adalah enam perintis peladang kontrak yang akan menyokong operasi Holstein apabila ternakan lembu dari Australia dibekalkan kepada mereka mula mengeluarkan susu.

Antara penternak terbabit adalah Datuk Asmawi Kassim iaitu pemilik Ladang Ternak Kassim di Kuantan yang dipilih berdasarkan kemudahan seperti kandang dan mempunyai rumput mencukupi kerana lembu memerlukan antara 30 hingga 45 kilogram sumber makanan setiap hari.

Beri tunjuk ajar, nasihat

"Setiap penternak akan diberi 30 lembu yang diterima bulan depan dan saya bersama dua lagi rakan akan menternaknya di FELDA Panching Timur bagi memudahkan proses pemantauan serta pengumpulan susu oleh Holstein nanti.

"Holstein akan memberikan khidmat nasihat menerusi pegawai veterinar mereka mengenai kaedah menjaga dan memastikan lembu dapat mengeluarkan susu banyak," katanya.

Selain menganggap ia satu peluang mengembangkan operasinya, Asmawi berkata, inisiatif Holstein itu juga dapat membantu melonjakkan sektor pertanian dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Industri tenusu ini sememangnya menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan dengan baik, pada masa ini 95 peratus susu diimport dan hanya lima peratus dikeluarkan di Malaysia," katanya.

Info
The Holstein Milk Sdn Bhd (Holstein)

  • Syarikat peneraju di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah Program Projek Permulaan (EPP) 13-Kluster Tenusu
  • Ia dilancarkan bagi meningkatkan pengeluaran susu tempatan dan mengurangkan kebergantungan import
  • Holstein adalah syarikat induk mengendalikan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) milik Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Pahang
152 dibaca
Berita Harian X