Isnin, 13 November 2017 | 10:53pm
MOHD Elmin Enis menternak ayam penelur sejak enam tahun lalu dengan telur dipasarkan di Kinabatangan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
MOHD Elmin Enis, mengutip telur daripada tong khas dalam reban ayamnya di ladang kelapa sawit, Suan Lamba. - Foto Poliana Ronnie Sidom
MOHD Elmin Enis memastikan ayam yang diternak tidak tertekan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
ADA lebih 700 ayam penelur di ladang diusahakan Mohd Elmin Enis. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Manfaat ilmu, YouTube hasilkan telur ayam berkualiti

SUKAU: Bagaikan mengerti ia tempat khas untuk bertelur, seekor demi seekor ayam masuk ke tong berwarna putih, hijau dan biru yang diletakkan di atas para untuk mengeram.

Di sudut lain dalam reban ayam terletak di tengah ladang kelapa sawit itu, sejumlah 700 ekor ayam penelur lain atau nama saintifiknya 'bovan goldline', sibuk menikmati baja dengan penuh disiplin tanpa saling bercakaran dan berlawan kokok.

Pemilik reban ayam, Mohd Elmin Enis, 26, yang mengusahakan penternakan ayam penelur sejak enam tahun lalu mendedahkan tidak sukar 'mendisiplinkan' ayam berkenaan untuk bertelur dalam tong disediakan.

Anak muda berkelulusan Diploma Perdagangan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah itu berkata, beliau cuma mengambil masa seminggu untuk 'melatih' ayam terbabit bertelur di tong khas itu, sekali gus mengelak telur pecah akibat dipijak ayam lain, sebelum dikutip dan dijual.


TELUR yang baharu dikutip untuk dijual di kedai runcit sekitar Kinabatangan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Memang pada awalnya ayam bertelur merata tempat, tetapi kami kutip telur dan masukkan ke dalam tong sebaik mereka bertelur, ..lama-kelamaan menjadi biasa masuk sendiri ke dalam tong.

"Ayam perlu diberi makanan dan minuman mencukupi, selain menjaga kebersihan reban agar tidak 'stress', sekali gus menghasilkan telur berkualiti," katanya ketika ditemui BH Plus di ladangnya di Suan Lamba, di sini.

Ketika ini, Elmin yang juga anak kedua daripada enam beradik menternak 748 ekor ayam dengan telur dijual di kedai runcit sekitar ladang berkenaan serta pekan berhampiran.

Dalam seminggu, Elmin mampu menjual 115 kotak atau 3,300 biji telur dengan pendapatan bulanan mencecah RM3,000 hingga RM5,000 tertakluk kepada permintaan.

Pada 2012, Elmin bermula dengan modal cuma RM5,000 dengan kira-kira 300 ekor ayam.


MOHD Elmin Enis mengutip telur dari tong khas dalam reban ayamnya di ladang kelapa sawit, di Suan Lamba. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Bermula tahun ini, Elmin mendapat bantuan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menerusi program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) untuk menambah keluasan reban kepada 15 meter panjang dan enam meter lebar, selain disediakan kemudahan lain termasuk janakuasa, pam air automatik serta membina pagar.

Selain memberi makan rumput, anak kedua daripada enam beradik yang juga generasi kedua peladang itu berkata, beliau juga memberi ayamnya memakan biji kelapa sawit yang mengandungi lemak, menjadikan telur ayam lebih bermutu tinggi dengan kuning telur lebih kental dan tidak mudah pecah.

Selain itu, katanya, beliau turut menggunakan ilmu ditimba belajar di universiti dengan membuat enzim sendiri bagi memastikan kebersihan reban ayam terjaga dan tidak berbau busuk.

"Saya juga 'google' dan melihat di YouTube bagaimana menghasilkan vitamin sendiri untuk menguatkan daya tahan ayam melawan penyakit kerana harga vitamin sekarang mahal.


TELUR yang dihasilkan daripada jenis ayam penelur atau nama saintifik bovan goldline lebih berkualiti dengan kuning telur lebih kental. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Antara yang saya amalkan adalah merebus daun betik untuk diberi minum kepada ayam sekali seminggu kerana air daun betik mampu mematikan bakteria," katanya sambil memberitahu dalam perancangan menambah jumlah ternakan sehingga 3,000 ekor kerana jumlah sedia ada tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan.

Program AET antara usaha LKTNS, iaitu agensi kerajaan negeri membantu generasi kedua peneroka di Sabah yang dibiayai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tempoh lima tahun.

Ketua Unit Komunikasi Korporat LKTNS, Qadaffy M T Aidala, berkata sejumlah RM2 juta sudah dibelanjakan untuk melaksanakan projek AET dengan tumpuan di timur Sabah.

"Antara bidang keusahawanan yang diceburi di bawah program AET adalah pertanian, ternakan, perniagaan borong kerepek dan kuih tradisional selain aktiviti ekonomi desa," katanya.

INFO

AYAM BOVAN GOLDLINE

  • Jangka hayat dua hingga tiga tahun.
  • Mampu menghasilkan 395 biji telur dalam tempoh tiga tahun.
  • Bersifat jinak.
  • Mampu menghasilkan telur berkualiti.
Berita Harian X