Rabu, 15 November 2017 | 9:52pm
PEMILIK kedai Songkok Gundal, Ismail Ahmad Gundal membantu anak saudaranya menjahit songkok di kedainya, Toko Sinar Maju, Jalan Besar. - Foto Muhd Asyraf Sawal
TEMUBUAL Pemilik kedai Songkok Gundal, Ismail Ahmad Gundal. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PEMILIK kedai Songkok Gundal, Ismail Ahmad Gundal menjahit songkok yang ditempat oleh pelanggan di kedainya, Toko Sinar Maju, Jalan Besar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Songkok Gundal aksesori pilihan kerabat diraja

KUANTAN: Pemilihan material berkualiti dengan kemahiran jahitan kemas, teliti dan unik menjadikan songkok dihasilkan generasi ketiga Haji Ahmad Gundal, terkenal dalam kalangan kerabat diraja serta pemimpin negeri ini.

Pemilik Toko Sinar Maju, Ismail Ahmad Gundal, 57, berkata kemahiran pembuatan songkok dimiliki sejak kira-kira 40 tahun lalu itu turut mementingkan keselesaan pelanggan tanpa meminggirkan kualiti.

"Saya mula belajar menjahit songkok Gundal pada 1977 dan sejak itu, saya belum terlintas untuk berhenti menghasilkan songkok yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu.

"Tidak ada latihan khusus diikuti, cuma belajar daripada arwah ayah (Ahmad Gundal Chontor). Kami sangat teliti dan mementingkan kekemasan dalam aspek jahitan. Kalau tanya kenapa ia (songkok) dinamakan Gundal, ia ada kaitan dengan lokasi asal songkok ini iaitu dari Indonesia.

"Hasil kerja (jahitan) pada songkok kami membezakan dengan songkok yang biasa dijual di pasaran, sebab itu ia tahan lebih lama dan menjadi pilihan pelanggan," katanya ketika ditemui di premisnya di Jalan Besar, di sini.

Ismail berkata, toko berkenaan beroperasi di Medan Pelancong, di sini, sebelum berpindah ke lokasi sekarang pada November 2009.


PEMILIK kedai Songkok Gundal, Ismail Ahmad Gundal menyusun songkok yang hendak dijual di kedainya, Toko Sinar Maju, Jalan Besar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

PEMILIK kedai Songkok Gundal, Ismail Ahmad Gundal membantu anak saudaranya menjahit songkok di kedainya, Toko Sinar Maju, Jalan Besar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Katanya, pemindahan lokasi premis itu tidak memberi kesan kepada perniagaan diusahakan itu kerana jaraknya tidak terlalu jauh dari tapak asal dan mereka juga sudah ada pelanggan tetap.

"Kebanyakan tempahan songkok Gundal ini diterima dari istana untuk dipakai golongan kerabat diraja. Begitu juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) dan pemimpin politik negeri.

"Saya percaya mereka memilih kami kerana hasil (kualiti) songkok dan kekemasan jahitan. Selain itu, keselesaan juga menjadi faktor utama pemilihan songkok," katanya.

Beliau turut memaklumkan tempoh dua jam diperlukan bagi pembuat songkok berpengalaman menghasilkan satu songkok yang lengkap dengan lilitan tepi mengikut tempahan pelanggan.

Katanya, beliau dibantu tiga anak saudara dan seorang adik bagi menyiapkan tempahan diterima daripada pelanggan yang datang dari dalam dan luar negeri ini.


PEMILIK kedai Songkok Gundal, Ismail Ahmad Gundal menjahit songkok yang ditempat oleh pelanggan di kedainya, Toko Sinar Maju, Jalan Besar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Kalau nak kira, tidak cukup tenaga. Saya ada sembilan anak dan hanya seorang berminat untuk mempelajari kemahiran (membuat songkok) ini.

"Biasanya, kami sibuk setiap kali musim perayaan. Begitu juga setiap kali ada majlis kebesaran di istana, itu tidak termasuk tempahan untuk majlis seperti perkahwinan dan keraian lain.

"Lagi pun, sekarang pemakaian songkok sudah dipelbagaikan. Setiap hari pun boleh pakai, tidak perlu tunggu hari tertentu," katanya.


PEMILIK kedai Songkok Gundal, Ismail Ahmad Gundal menjahit songkok yang ditempat oleh pelanggan di kedainya, Toko Sinar Maju, Jalan Besar. - Foto Muhd Asyraf Sawal

INFO

  • Songkok dihasilkan generasi ketiga Haji Ahmad Gundal, terkenal dalam kalangan kerabat diraja serta pemimpin negeri ini.
  • Harganya bermula serendah RM95 seunit tertakluk kualiti baldu.
  • Kemahiran pembuatan songkok dimiliki sejak 40 tahun lalu itu mementingkan keselesaan pelanggan.

  • Lokasi asal songkok Gundal dari Indonesia.
  • Toko beroperasi di Medan Pelancong, sebelum berpindah ke Jalan besar, Kuantan, pada November 2009.
Berita Harian X