Ahad, 19 November 2017 | 9:48pm

Bangkit daripada kegagalan

KUALA LUMPUR: Tidak semua kejayaan dalam perniagaan hadir dengan mudah, malah nikmat berada di puncak hasil kejayaan dalam sesuatu perniagaan itu juga tidak akan lengkap tanpa dugaan atau cabaran.

Bercerita soal cabaran dan dugaan, apa yang dialami oleh jutawan perniagaan rangkaian pemasaran, Datuk Jahlilawati Abu Bakar sememangnya memeritkan.

Sebelum meraih pendapatan bulanan enam angka, Jahlilawati yang terkenal dengan jolokan Datuk Jah terpaksa melewati tempoh sukar dalam hidupnya.


JUTAWAN perniagaan rangkaian pemasaran, Datuk Jahlilawati Abu Bakar. - Foto Osman Adnan

Apa tidaknya, jika tiada sebarang inisiatif dilakukannya, pastinya beliau terjerumus dalam 'kemiskinan' dek kerana hutang mencecah RM250,000.

Semuanya bermula apabila dirinya terjebak dengan pelbagai skim cepat kaya sekitar tahun 2007, yang pada mulanya memberikan keuntungan.

Namun, ia sebenarnya hanya indah khabar dari rupa, apabila ditipu skim berkenaan sehinggakan semua simpanan 'licin', malah Jahlilawati terpaksa pula berhutang kad kredit dan pinjaman peribadi dengan pihak bank.

Jahlilawati akhirnya menyedari bahawa dengan hanya makan gaji sebagai Ketua Jabatan di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), beliau tidak mampu melunaskan semua hutang yang ditanggungnya.

"Memang betul gaji saya ketika itu adalah belasan ribu ringgit. Namun dengan jumlah hutang yang ada, sehingga ke akhir perkhidmatan pun belum tentu boleh selesai.


USAHAWAN, Datuk Jahlilawati Abu Bakar bersama produk Navix. - Foto Osman Adnan

"Berdasarkan pengalaman saya, tiada perniagaan yang menjanjikan untung cepat tanpa usaha. Slogan 4D (duduk diam dapat duit) atau 5D (duduk diam diam dapat duit) atau 6D (duduk diam diam doa dapat duit) yang dicanang oleh penipuan skim cepat kaya hanya helah semata-mata," katanya.

Pada 2009, Jahlilawati mengambil langkah drastik menyertai syarikat penyedia portal pendidikan dikenali Score A demi meraih hasil daripada sistem rangkaian pemasaran yang lebih cepat untuk melangsaikan hutangnya.

Meskipun tidak memiliki kepakaran untuk melakukan perniagaan itu, iaitu menaja dan menjual produk Score A, berkat usaha dan tunjuk ajar dari sifu serta rangkaian yang hebat, segala-galanya tampak mudah buat dirinya.

Dalam perniagaan pemasaran itu, Jahlilawati meraih pencapaian tertinggi iaitu Multi-Millionare Club (MMC) dengan pendapatan mencecah RM160,000 sebulan.

Tidak terhenti di situ, beliau turut menerima pangkat Crown Manager, jutawan wanita pertama, jutawan pantas, Top Sponsor No.1, multi-jutawan wanita pertama dan multi-jutawan terpantas.


PRODUK Navix keluaran DJ Moment. - Foto Osman Adnan

Rezeki Jahlilawati terus bercambah apabila menjadi mentor kepada Kelab Jutawan Jaya (KJJ) sehingga berjaya melahirkan sembilan individu ke 'kelab jutawan' dan ratusan lagi berpendapatan empat dan lima angka sebulan, malah ada yang enam angka sebulan.

Pada 2012, beliau menerima anugerah berprestij iaitu Million Dolar Independent Enterpreneur (M$IE).

"Pada 2009, saya mula menyertai perniagaan yang betul dan Alhamdulillah, saya berjaya melangsaikan semua hutang dalam masa setahun," katanya.

Jahlilawati yang dulunya tidak meminati bidang perniagaan, semakin 'menjadi' apabila menyertai syarikat Tone Excel pada 2013 dan berjaya meraih pendapatan lebih lumayan iaitu RM184,000 sebulan pada bulan yang ke-10 sehingga meraih Anugerah Most Outstanding Achiever 2013 dan Anugerah Excellent Leadership 2014 di bawah syarikat berkenaan.

Menyedari dunia perniagaan amat luas, beliau menyertai pula Kangen Water.

Mengejutkan apabila perniagaan yang berasal dari negara Jepun yang berada di pasaran lebih 30 tahun termasuk di pasaran 170 negara/tempat, menjadi destinasi Jahlilawati untuk memecahkan rekod dunia sebagai individu paling pantas di dunia mencapai pangkat 6A, iaitu dalam masa 18 hari sahaja, selain meraih pendapatan RM400,000 pada bulan pertama.

Selepas melengkapkan kejayaan hatrik sebagai multi-jutawan dalam tiga syarikat berlainan, beliau beralih untuk mewujudkan perniagaan sendiri di bawah BisnesJaya Resources.

Di bawah entiti perniagaan sendiri, Jahlilawati memiliki cabang perniagaan seperti BisnesJaya Academy yang diwujudkan untuk menganjurkan seminar untuk perniagaan dalam talian atau luar talian.

Walaupun baharu ditubuhkan tahun ini, operasi BisnesJaya Academy sebenarnya sudah bermula lebih lapan tahun sejak perniagaan pertama disertainya dulu (Score A).

Kini ia sudah mengendalikan seminar kepada puluhan ribu usahawan tempatan dengan bayaran serendah puluhan ringgit hingga ke ratusan ringgit saja bergantung kepada jenis kursus.

Sifat mencabar diri sendiri untuk melonjak ke tahap yang lebih tinggi, menyaksikan Jahlilawati menghasilkan produk sendiri iaitu anti-stress dan tenaga zahir & batin, NaVIX di bawah jenama DJ Moment yang dipasarkan menerusi pelan pemasaran unik dikenali sebagai 'Trading-Affiliate'.

Pelan perniagaan itu bagi membuka peluang kepada lebih ramai usahawan menjalankan perniagaan dan meraih pendapatan lumayan.

"Falsafah saya kini adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya. Saya mahu kongsikan kejayaan bersama mereka yang berminat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam menjalankan perniagaan rangkaian pemasaran terdapat dua cabaran yang harus dilalui iaitu penerimaan orang ramai dan stigma.

"Biasanya, sebut saja nak jual produk, kena cari orang, tidak semua orang dapat menerima apatah lagi mendengar. Dari segi stigma pula, ramai yang beranggapan perniagaan rangkaian pemasaran yang memiliki kaedah sama seperti Pemasaran Pelbagai Peringkat (MLM) hanya akan kayakan orang atas berdasarkan skim piramid.

"Jadi perkara ini perlu dihadapi mereka yang berminat untuk berjaya. Apa yang boleh saya katakan, tidak akan ada kejayaan yang datang bergolek tanpa usaha.

"Ayuh bersama saya, saya beri tunjuk ajar bagaimana untuk melakukannya dengan cara yang sudah terbukti, betul, pantas, mudah dan pendapatan maksimum," katanya.

INFO

Nama: Datuk Jahlilawati Abu Bakar

Umur: 51 tahun

Asal: Pasir Puteh, Kelantan, dibesarkan di Kuala Lumpur

Jawatan: Pengasas dan Presiden BisnesJaya Group

Laman web: www.djmoment.com

Berita Harian X