Ahad, 3 Disember 2017 | 8:31pm
PENGASAS Tanamera, Mohamad Faisal Ahmad Fadzil. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PRODUK Tanamera mementingkan kualiti dalam penggunaan bahan herba tanpa campuran bahan kimia lain. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PRODUK penjagaan diri keluaran Tanamera. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Produk Tanamera ke 14 negara

KUALA LUMPUR: Dilahirkan dalam keluarga yang banyak terbabit dengan perubatan herba tradisional menjadikan Mohamad Faisal Ahmad Fadzil bersama dua adiknya, Faridah dan Fauziah sentiasa dekat dengan herba tradisional.

Apatah lagi ibu mereka Fatimah Sheikh Salleh pernah berguru dengan bidan tradisional kerabat diraja Perak mengenai ilmu herba, menyebabkan mereka juga sering dibawa ke hutan mengenali pelbagai jenis herba dan khasiatnya.

Bertitik tolak dari semua inilah mendorong mereka sepakat membuka perniagaan berasaskan herba dikenali sebagai Tanamera Tropical Spa Sdn Bhd (Tanamera).

Mohamad Faisal, 45, berkata Tanamera yang hanya bermula dengan lapan produk pada 2010 kini sudah mampu berbangga dengan 200 produk dan menembusi pasaran 14 negara.

"Tanamera mula didaftarkan sejak 2000, tetapi disebabkan kami terlalu sibuk menguruskan operasi lain, kami hanya sempat menghasilkan lapan jenis produk menggunakan label Tanamera iaitu semburan pewangi dan sabun.


MOHAMAD Faisal menunjukkan produk sabun keluaran Tanamera. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Ketika itu walaupun hanya beberapa produk dan tidak banyak permintaan, kami sentiasa menyertai pameran antarabangsa dengan membawa produk Tanamera. Antara pameran yang kami sertai awal dulu ialah di Amsterdam, Belanda.

"Siapa sangka produk kami mampu menarik perhatian pengedar dari Jerman dan sejak itu jenama Tanamera semakin dikenali di pasaran antarabangsa, malah berjaya memasuki pasaran di 14 negara," katanya.

Mohamad Faisal berkata, pembabitan secara serius di peringkat antarabangsa bermula pada awal 2003, apabila menerima kunjungan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan terpilih sebagai perantis program pembangunan eksport (MTOP), sekali gus diberi peluang mempromosi Tanamera di peringkat antarabangsa.

Katanya, produk Tanamera terlebih dulu dikenali di luar negara berbanding pasaran tempatan kerana pada awal kemunculan Tanamera tidak ramai yang memberi perhatian serius terhadap produk ini kerana pembungkusan produknya lebih bercirikan alam semula jadi dan kitar semula.

"Pembeli tempatan ketika itu susah nak terima produk kami kerana rekaan dan pembungkusannya berbeza, selain ramai yang beranggapan produk ini dari Indonesia. Malah mungkin faktor harga ketika itu juga memainkan peranan.

"Ini kerana kami mahu menjadikan Tanamera produk yang berkualiti dan baik untuk kegunaan semua lapisan masyarakat. Awal perniagaan memang sukar, banyak kali jatuh kecundang tetapi kami adik beradik tekad untuk bangun semula sehinggalah hari ini.


PRODUK penjagaan diri keluaran Tanamera. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PRODUK penjagaan diri keluaran Tanamera. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Tiada yang mudah dalam perniagaan tetapi hasil usaha dan kecekalan kami, akhirnya Tanamera menjadi pilihan di banyak negara terutama di Vietnam. Produk penjagaan selepas bersalin Tanamera adalah produk nombor satu di Vietnam.

"Pada mulanya kami juga sukar untuk mempercayai kerana mereka juga mempunyai banyak produk herba sebegini, tetapi inilah yang terjadi. Mereka sukakan kualiti produk penjagaan selepas bersalin Tanamera dan ia juga mula diguna pakai beberapa hospital swasta di sana," katanya.

Mohamad Faisal berkata, produknya mementingkan kualiti dalam penggunaan bahan herba tanpa campuran bahan kimia lain dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga pakar tempatan dan pengilangan tempatan.

Tidak hairanlah jika 40 peratus produknya kini adalah untuk pasaran luar negara dan berada di pasaran Australia, Amerika Selatan, Afrika Selatan, Arab Saudi dan negara Asia Barat.

Tanamera juga kini mempunyai beberapa cawangan jualannya sendiri selain menjadi pilihan kebanyakan pengusaha spa dan salun kecantikan serta turut dijual di lapangan terbang utama dan ratusan kedai yang menjual barangan sebegini.

Ditanya perancangannya untuk memajukan syarikat, Mohamad Faisal berkata, pihaknya kini dalam proses akhir membekalkan produk Tanamera di beberapa hotel terkemuka antarabangsa.


PRODUK penjagaan diri keluaran Tanamera. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Ini perancangan kami memasuki pasaran perhotelan dengan membawa jenama Tanamera. Kebiasaannya kami melihat produk mandian dalam bilik hotel menggunakan beberapa jenama antarabangsa tetapi kami akan menjadi jenama tempatan pertama menyediakan produk mandian di bilik hotel.

"Dalam jangka masa panjang, ia bakal menjadi satu penjenamaan kepada produk kami," katanya.

INFO

  • Ibunya, Fatimah Sheikh Salleh banyak memberi tunjuk ajar dalam penghasilan produk herba.
  • Dihasilkan 100 peratus daripada herba tanpa campuran sebatian lain.
  • 40 peratus produk Tanamera adalah untuk pasaran luar negara dan berada di pasaran Australia, Amerika Selatan, Afrika Selatan, Arab Saudi dan negara Asia Barat.
Berita Harian X