Ahad, 10 Disember 2017 | 7:44pm
PRESIDEN Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia , Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor (tengah) beramah mesra bersama peserta pada majlis perasmian Dewan Perniagaan Usahawan Kecil cawangan Pahang, di De Rhu Beach Resort, Balok. - Foto Farizul Hafiz Awang

DPUKM bantu usahawan luar bandar

KUANTAN: Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) menyasarkan untuk mendaftarkan lebih ramai usahawan kecil di luar bandar sebagai ahli bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.

Presidennya, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor, berkata usahawan kecil boleh merebut peluang perniagaan lebih luas yang disediakan pihaknya, yang mempunyai rangkaian ekonomi kukuh dan menyeluruh di seluruh negara.

Katanya, pihaknya sentiasa melaksanakan pelbagai program bimbingan kepada golongan itu bagi membantu mereka menjadi usahawan berjaya, sekali gus mampu menghasilkan produk berkualiti di pasaran.

"Kita sentiasa mengadakan seminar dan bengkel mengenai pengurusan perniagaan dari aspek kualiti, pembungkusan produk dan rangkaian perniagaan supaya produk mereka dapat dipasarkan di pasaran global.

"Kalau sebelum ini hanya berniaga secara kecil-kecilan di belakang rumah, mungkin selepas ini boleh berubah apabila menyertai DPUKM," katanya ditemui pada majlis perasmian DPUKM peringkat negeri Pahang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua DPUKM Pahang, Wan Mohamad Nawab Wan Yahya.

Abu Hasan berkata, kira-kira 15,000 usahawan kecil di seluruh negara sudah mendaftar sebagai ahli DPUKM sepanjang empat tahun penubuhannya.

Beliau berkata, keahlian terbuka kepada semua individu berusia 18 tahun hingga 75 tahun, dengan bayaran yuran tahunan sebanyak RM150 bagi usahawan individu dan RM500 untuk usahawan korporat.

550 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »