Ahad, 10 Disember 2017 | 9:50pm
ZAKI Hanafi dan isteri, Arbainah Abdul Rahman mengusahakan perniagaan produk penjagaan diri. - Foto Rohanis Shukri
ZAKI dan Arbainah yakin produk mereka yang berasaskan minyak kelapa dara mampu menandingi kehebatan produk semula jadi dari luar negara. - Foto Rohanis Shukri
KRIM herba bayi keluaran, antara produk keluaran Tropica Beauty yang palis laris di pasaran.

Haruman tropika ke persada antarabangsa

KUALA LUMPUR: Mahu membuktikan herba tempatan mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan dan kosmetik, sepasang suami isteri dan adiknya nekad untuk mengkomersialkannya sebagai produk penjagaan diri.

Memulakan empayar pada tahun 2010, Tropica Beauty Sdn Bhd (Tropica Beauty) diusahakan bersama oleh dua serikandi, Arbainah Abdul Rahman dan Suraya Hanafi dan dibantu oleh Zaki Hanafi walaupun semuanya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang berkenaan.

Sebelum menceburi bidang perniagaan itu, Zaki bekerja sebagai juruperunding kejuruteraan, manakala Arbainah pula berkelulusan syariah Universiti Al Azhar, sementara Suraya adalah seorang peguam.

Namun, ia tidak menghalang mereka terjun ke bidang kesihatan dan kecantikan. Bermodalkan kurang RM100,000, ketiga-tiga mereka memulakan usaha dengan menggunakan bahan minyak kelapa dara (VCO) sebagai bahan asas dalam setiap produknya yang diyakini mampu menandingi kehebatan produk semula jadi dari luar negara.

Zaki Hanafi, 59, selaku Pengerusi Eksekutif, berkata beliau sentiasa berpegang pada prinsip bahawa bahan yang ada di negara ini cukup untuk dijadikan sebagai penawar semula jadi.

"Herba dalam Malaysia sangat banyak dan tak habis diteroka. Herba tempatan juga sangat terkenal dengan khasiat dan disifatkan antara yang terbaik di dunia. Jadi, kenapa kita nak cari produk dari luar negara?

"Di Tropica Beauty, kita tekankan tiga prinsip dalam mengolah produk di bawah label Tropika iaitu - asli, memberi kesihatan dan berkesan. Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menggunakan produk yang bebas bahan kimia," katanya ketika ditemui NadiBiz di ibu pejabatnya di Kampung Selayang Indah, Selangor, baru-baru ini.

Zaki berkata, pada mulanya usaha mempromosikan kebaikan VCO seperti kurang mendapat perhatian daripada orang ramai kerana mereka tidak melihat keperluan untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian selain tidak mempercayai manfaatnya.

"Selepas dua tahun, kami tukar strategi perniagaan dengan memecahkan produk kepada beberapa segmen untuk ibu, bayi, selain khusus untuk kegunaan sesuatu bahagian seperti rambut dan mandian badan. Kemudian, barulah masyarakat dapat melihat kepentingannya dalam kehidupan mereka," katanya.

Tujuh tahun selepas menceburi bidang berkenaan, mereka kini boleh tersenyum puas melihat perkembangan positif dengan hanya bermula satu produk dan menjadi 48 produk ketika ini.

"Mula-mula kita hanya jual minyak VCO sahaja. Produk paling laris adalah krim herba bayi dan ia adalah satu sumbangan untuk rakyat Malaysia yang mana bahan di dalamnya adalah 100 bahan semula jadi tanpa pengawet dan bahan kimia," kata anak jati Bukit Pinang, Kedah.

Zaki berkata, syarikat memberi penekanan yang tinggi kepada aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) setiap produknya yang mana terdapat enam individu terbabit dalam kumpulan ini termasuk beliau dan isteri, Arbainah.

Seperti syarikat lain yang berdepan pelbagai cabaran sebelum berjaya, Zaki mengakui mereka turut mengalami nasib sama namun ia tidak mematahkan semangat malah menjadi azimat.

"Kita bertungkus-lumus dalam tempoh dua tahun pertama dan cuba mengurangkan overhead (perbelanjaan) sebanyak mungkin dengan beroperasi dari rumah atau pejabat saya pada waktu itu," katanya.

Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, pasangan ini mengusahakan tanaman kelapanya sendiri di Temerloh, Pahang di atas ladang seluas 20 hektar yang menempatkan kira-kira 3,000 pokok.

"Idea untuk menanam sendiri pokok kelapa ini berpunca daripada kurangnya bekalan kelapa ketika banjir besar melanda Kelantan suatu ketika dulu. Jadi kita buat keputusan kena ada ladang sendiri," katanya.

Menariknya, ladang berkenaan dinamakan sebagai ladang organik tropika yang mana ia diusahakan secara organik, bersepadu dan 'zero-waste'.

"Kita tidak gunakan baja kimia dan hanya menggunakan racun serangga daripada bahan asli seperti daun semambu dan daun durian belanda untuk menghalau serangga perosak," katanya.

Menyentuh kaedah pemasaran, Zaki berkata, syarikatnya tidak bersaing dengan stokis malah menyokongnya termasuk memberikan peluang kepada mereka untuk menyertai jemputan ekspo perniagaan yang diterima mereka.

"Kita setakat ini mempunyai 150 stokis dan ejen. Untuk menjadi ejen atau stokis, ia terbuka kepada semua dengan modal serendah RM399 hingga RM8,000 dan mendapat potongan dari 30 peratus hingga 50 peratus.

"Terbaharu kita buat kelonggaran, mana-mana produk tidak mencapai jualan memuaskan mereka boleh menukarnya dalam tempoh lima hari sebab kita faham sasaran pengguna setiap stokis adalah berlainan," katanya.

Mengulas mengenai penerimaan produk itu di pentas antarabangsa, Zaki berkata, ketika ini label Tropika sudah memasuki pasaran United Kingdom (UK) sejak setahun lalu dengan tertubuhnya sebuah pejabat pengurusan di sana.

"Pasaran di sana sangat terbuka mengenai produk semula jadi malah produk kita turut mendapat pengiktirafan di UK," katanya.

Bagaimanapun, Zaki berkata, cara dan rekaan pembungkusan diolah semula sesuai dengan penerimaan rakyat di sana.

"Kita sudah membawa masuk lapan produk di UK. Ada di antara produk ini perlu diformulasikan semula sesuai dengan cuaca dan keadaan di sana.

"Selain UK, kita juga sudah tembusi pasaran China dan Asia Barat dan berusaha untuk masuk ke banyak negara dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya.

INFO

Anugerah

1. Anugerah Pilihan Pembaca 2017 Majalah Baby Talk (Malaysia)

2. Best Baby and Toddler Gear by mom (Emas) (United Kingdom)

3. Pemenang Anugerah Rekaan Junior 2017 (Perak)  (United Kingdom)

4. Senarai pendek Anugerah Kecantikan Ibu&Anak Pilihan Editor 2017  (United Kingdom)

Alamat:

Tropica Beauty Sdn Bhd (913440-M)

53 & 54, Jalan Indah 10E, 

Taman Perindustrian Selayang Indah, 

BB Selayang, 68100 Batu Caves, 

Selangor Darul Ehsan,

Malaysia.

Hotline: ‪1 800 88 1112‬

‪Website: www.tropikabeauty.com.my

Facebook: Tropika HQ

Berita Harian X