Ahad, 17 Disember 2017 | 10:08pm
MOHAMED Zairul (kiri) bersama Pengarah Eksekutif Samza's Food Industries, Norhazlina Sajali menunjukkan produk keluaran syarikat mereka di Taman Desa Kundang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sambal cili hijau kita ke Australia

DARIPADA hanya bergantung kepada tender dan projek kerajaan, timbul kesedaran kepada Dr Mohamed Zairul Yunus, 47, untuk menceburi bidang perniagaan bagi kesinambungan .

Semuanya bermula lima tahun lalu, apabila bekas kontraktor berkenaan mengambil langkah menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan, mengusahakan sambal cili hijau warisan ibunya.

Menariknya, penghasilan produk berkenaan yang kebiasaannya dijalankan kaum wanita, namun Dr Mohamed Zairul sedia mengambil cabaran.

"Dengan menggunakan resipi asli warisan turun-temurun daripada ibunya, beliau mengeluarkan modal awal sebanyak RM60 dengan RM30 daripadanya diperuntukkan untuk membeli sebuah kuali kecil.

"Memulakan operasi hanya di dapur rumah ibunya dan hanya boleh menghasilkan 30 botol sambal cili hijau sehari, kini saya mampu tersenyum puas dengan mensasarkan 30,000 botol sebulan di kilang baru di Rawang," katanya kepada BH.


MOHAMED Zairul Yunus di Taman Desa Kundang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Beliau berkata, bermula dengan menjualnya kepada rakan-rakan, saudara mara dan jiran terdekat, produk dengan jenama Samza's dijangka memasuki pasaran besar bermula tahun depan.

"Sambal Samza's bukan sekadar sambal, malah boleh dijadikan pes untuk memasak nasi goreng, dicampur ke dalam resipi masak lemak cili api, ikan siakap bakar dan sebagainya.

"In shaa Allah pada 2018, sambal Samza's pasaran pasar raya seperti Giant, Tesco dan Mydin di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur.

"Selain itu, saya juga mahu membawa produk sambal ini ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di luar negara. Pada masa ini, kami sudah mendapat permintaan daripada penduduk di beberapa negara seperti Melbourne, Australia dan Singapura," katanya.


KILANG pemprosesan Sambal Hijau di Taman Desa Kundang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Guna hasil jualan besarkan modal

Menyingkap pembabitannya sebagai pengeluar sambal cili hijau, ia bermula di dapur rumah ibunya dan sejak daripada itu menerima permintaan yang semakin meningkat, tidak lagi boleh menampung jumlah tempahan.

Keadaan itu membuatkan Mohamed Zairul mula menambah modal untuk membeli kuali yang lebih besar dan beliau sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap perniagaan yang dijalankannya itu.

Apabila perniagaan semakin stabil, beliau mengambil keputusan untuk menyewa premis dan beroperasi di lokasi yang lebih selesa selain menjenamakan semula produk keluarannya, Samza's.

Katanya, kos yang dilaburkan untuk membuka premis berkenaan agak tinggi dan beliau juga mula memperkenalkan tambahan produk baharu seperti sambal hitam, sambal cili goreng dan pes rendang.

"Bagaimanapun, kami berhadapan dengan cabaran apabila premis yang sudah lengkap diubah suai itu mengalami masalah kebocoran siling.


MOHAMED Zairul (kiri) ketika melawat kilang pemprosesan Sambal Hijau di Taman Desa Kundang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Tambah mengeruhkan keadaan apabila pemilik premis itu tidak mahu memberikan kerjasama mengatasi masalah itu.

"Memandangkan perniagaan saya perlu mengikut syarat ketat pensijilan halal, kami memutuskan untuk berpindah ke premis lain dan menganggapnya sebagai cabaran dalam bidang ini," katanya ketika ditemui di premis baharunya di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Usahakan ladang cili sendiri

Mohamed Zairul berkata, bagi memastikan produk keluarannya berkualiti, beliau mengikut segala standard dan piawaian yang ditetapkan bukan saja daripada aspek isi kandungan tetapi juga pembungkusan.

"Oleh kerana kami menyasar untuk menembusi pasaran antarabangsa, kami memastikan semua produk kami mempunyai kod bar, label nutrisi dan arahan penyimpanan yang jelas," katanya.

Pada awalnya, Mohamed Zairul membeli bahan mentah daripada pasaran terbuka dan selepas permintaan semakin meningkat, beliau mula merasakan cabaran dalam mendapatkan bekalan cili hijau.

"Harga bahan mentah yang tidak menentu turut menjadi cabaran buat kami, kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor. Jika musim hujan, harga cili akan meningkat dan ia memberi kesan kepada aliran kewangan syarikat.

"Justeru, saya membuat keputusan untuk mengusahakan tanaman cili dan membeli ladang yang terletak di Kuala Langat, Selangor. Pada masa ini, hasil tanaman digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk sambal Samza's dan saya tidak membekalkannya kepada pihak luar," katanya.

Mengimbau kembali perjalanannya dalam dunia perniagaan, Mohamed Zairul berkata beliau sendiri tidak menyangka akan pergi sejauh ini.

"Ternyata, pengalaman yang diperoleh dalam bidang ini amat berharga dan akan saya gunakan sebagai panduan di masa akan datang," katanya.

Profil>

  • Nama: Dr Mohamed Zairul Yunus
  • Umur: 47 tahun
  • Asal: Gombak, Selangor
  • Pendidikan: Diploma Jualan dan Pemasaran Universiti Malaya
  • : Sarjana Muda Keusahawan University of East London, United Kingdom (UK)

    : Sarjana Komunikasi Pemasaran Bersepadu Universiti Sains Malaysia

                       : Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Canterbury University, UK

    Pengalaman: 20 tahun bekerja dalam bidang kewangan dan pemasaran serta menjadi pelatih bertauliah

INFO

  • Selain dijual di kedai Mesra Petronas, produk Samza's juga boleh didapati menerusi platform dalam talian, https://www.agrobazaar.com.my.
  • Harga jualan adalah RM10 sebotol bagi sambal cili hijau
Berita Harian X